DUNIA

Trump ancam isytihar darurat selepas Washington enggan bekerjasama dengan ICE

Bernama 15/09/2025 | 15:30 MYT
Trump mendakwa buat kali pertama dalam beberapa dekad, hampir tiada jenayah berlaku di Washington DC. - Reuters
MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengancam untuk mengisytiharkan darurat susulan kenyataan Datuk Bandar Washington DC, Muriel Bowser, bahawa polis ibu negara tidak akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam AS (ICE) dalam isu migrasi haram, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Trump berkata di platform Truth Social bahawa di bawah pentadbirannya, Kerajaan Persekutuan telah campur tangan dalam "kekacauan jenayah sepenuhnya" di Washington DC, yang sebelum ini digambarkannya sebagai "satu daripada bandar paling berbahaya dan penuh dengan pembunuhan di AS, malah di dunia", tetapi telah bertukar menjadi "satu daripada bandar paling selamat hanya dalam beberapa minggu".

Beliau berkata buat kali pertama dalam beberapa dekad, hampir tiada jenayah berlaku di sana.

"Ini sesuatu yang indah untuk disaksikan, tetapi kini, di bawah tekanan Demokrat berhaluan kiri radikal, Datuk Bandar Muriel Bowser, yang sekian lama mengetuai pengambilalihan jenayah ganas di ibu negara bertahun-tahun, memaklumkan Kerajaan Persekutuan bahawa Jabatan Polis Metropolitan tidak lagi akan bekerjasama dengan ICE untuk menyingkir dan memindahkan pendatang haram berbahaya.

Kepada rakyat dan perniagaan di Washington DC, JANGAN BIMBANG, SAYA BERSAMA ANDA, DAN TIDAK AKAN BENARKAN INI BERLAKU. Saya akan isytiharkan Darurat Nasional, dan meletakkan ia di bawah persekutuan, jika perlu!!!" kata Trump.

Pada 11 Ogos, Trump mengumumkan langkah oleh pihak berkuasa persekutuan bagi membanteras jenayah di Washington. Melalui perintah eksekutif, Presiden AS itu meletakkan polis Washington di bawah kawalan langsung Kerajaan Persekutuan. Selain itu, beliau menghantar lebih 800 anggota Pengawal Negara AS dan mengugut akan menghantar angkatan tentera ke ibu negara jika perlu.

Pada 20 Jan, dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden AS ke-47, Trump berjanji akan segera menghentikan kemasukan pendatang tanpa izin ke AS serta memulakan proses penghantaran pulang berjuta-juta migran. Beliau turut mengisytiharkan darurat nasional berkaitan situasi di sempadan selatan AS.

-- BERNAMA

#Donald Trump #isu imigran #Washington #kerjasama #ice #darurat #Amerika Syarikat