Skip to main content

Dunia

Trump anggap pengunduran Joe Kent sebagai langkah tepat di saat krisis Iran

President Donald Trump speaks during a press briefing at the White House, Friday, Feb. 20, 2026, in Washington. (AP Photo/Allison Robbert)
Trump menggambarkan bekas pengarah berkenaan sebagai seorang yang “lemah dalam soal keselamatan”. - Foto fail/AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan peletakan jawatan Pengarah Pusat Kontraterorisme Kebangsaan (NCTC), Joe Kent, sebagai “satu perkara yang baik”, selepas pegawai tinggi keselamatan itu melepaskan jawatan sebagai tanda protes terhadap perang yang sedang berlangsung antara AS dan Iran.

Kent, yang dilantik Trump dan disahkan Senat tahun lalu, mengumumkan peletakan jawatannya secara mengejut pada Selasa.

Advertisement

Dalam surat yang disiarkan di akaun X beliau, Kent menyatakan bahawa beliau *“tidak dapat menyokong perang ini dengan hati nurani yang bersih”*, sambil menegaskan Iran “tidak pernah menjadi ancaman segera kepada negara kami”.

Kent turut mendakwa AS memulakan perang akibat tekanan daripada Israel dan lobi pro-Israel di AS.

Susulan berita tersebut, Trump ketika ditanya oleh wartawan dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Ireland, memberi reaksi yang tegas terhadap Kent.

Beliau menggambarkan bekas pengarah berkenaan sebagai seorang yang “lemah dalam soal keselamatan”.

Trump berkata, setelah membaca kenyataan Kent, beliau menyedari adalah lebih baik Kent meninggalkan jawatan tersebut, sambil menegaskan bahawa Iran sememangnya ancaman keselamatan yang nyata.

White House turut menolak dakwaan Kent bahawa Iran tidak menjadi ancaman segera, dengan jurucakap Karoline Leavitt menyifatkan kenyataan tersebut sebagai “dakwaan palsu” yang sering diulang oleh pihak pembangkang dan sebahagian media liberal.

Menurutnya, Trump mempunyai “bukti kukuh dan meyakinkan” bahawa Iran merancang untuk menyerang AS terlebih dahulu.

Peletakan jawatan Kent menjadikannya pegawai tertinggi dalam pentadbiran Trump yang melepaskan jawatan secara terbuka kerana membantah perang Iran.

Beliau sebelum ini berkhidmat dalam ketenteraan dan CIA, serta pernah bertanding dalam pilihan raya Kongres.

Krisis ini menambah tekanan terhadap pentadbiran Trump yang menghadapi kritikan domestik dan antarabangsa mengenai justifikasi serangan terhadap Iran.

Namun Trump tetap bertegas bahawa tindakan beliau berasaskan kepentingan keselamatan negara dan maklumat ancaman yang sahih.

 

Must Watch Video