Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Trump arah gelandangan 'segera' tinggalkan Washington DC

Astro Awani 11/08/2025 | 00:30 MYT
TRUMP: Gelandangan perlu keluar, SEGERA. Kami akan sediakan tempat tinggal, tetapi JAUH dari ibu negara. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan agar semua gelandangan di Washington DC “segera” dipindahkan keluar dari ibu negara, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan bandar itu “lebih selamat dan lebih indah daripada sebelumnya.”


Ringkasan AI
  • Trump mengarahkan semua gelandangan dipindahkan segera dari Washington DC, dengan janji penempatan di lokasi luar bandar yang menyediakan kemudahan asas.
  • Langkah ini mencetuskan kebimbangan dan kritikan, termasuk daripada Datuk Bandar DC dan kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak sivil.
  • Trump turut mengerahkan lebih 450 pegawai penguat kuasa ke DC, sambil menegaskan tiada lagi toleransi terhadap jenayah dan mahu "mengambil semula ibu negara".


Arahan itu diumumkan melalui platform Truth Social pada Ahad, menjelang sidang media khas di White House hari Isnin.

"Gelandangan perlu keluar, SEGERA. Kami akan sediakan tempat tinggal, tetapi JAUH dari ibu negara," tulis Trump.

Beliau turut menambah bahawa penjenayah “tidak perlu keluar” kerana mereka akan “dimasukkan ke penjara seperti sepatutnya.”

Arahan Trump itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis dan pegawai tempatan.

Datuk Bandar Washington DC, Muriel Bowser, menolak dakwaan bahawa bandar itu sedang mengalami lonjakan jenayah, sambil menyatakan bahawa kadar jenayah ganas telah menurun sebanyak 26 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 2024.

Trump sebelum ini menandatangani perintah eksekutif yang memudahkan penangkapan gelandangan dan mengarahkan penempatan semula mereka ke kawasan luar bandar.

Beliau turut mengerahkan lebih 450 pegawai penguat kuasa persekutuan ke DC, termasuk FBI, DEA dan US Marshals, untuk menangani jenayah yang disifatkan sebagai “tidak terkawal.”

Menurut organisasi Community Partnership, terdapat kira-kira 3,782 individu gelandangan di Washington DC, dengan sekitar 800 daripadanya hidup tanpa tempat tinggal tetap.

Trump menyatakan bahawa mereka akan dipindahkan ke lokasi yang menyediakan kemudahan asas seperti tandas dan rawatan perubatan, namun butiran lanjut masih belum diumumkan.

Langkah ini menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan berisiko menjejaskan hak sivil golongan terpinggir.

Trump menegaskan bahawa tiada lagi “Mr. Nice Guy” dan beliau mahu “mengambil semula ibu negara.”







#Donald Trump #gelandangan #pindah #White House