DUNIA

Trump arah negeri pulangkan semula bantuan makanan selepas keputusan mahkamah

Bernama 10/11/2025 | 07:00 MYT
Sekitar 42 juta rakyat menerima bantuan Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP), terutamanya keluarga dengan anak kecil, ibu bapa tunggal, dan warga emas. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Dalam pertikaian belanjawan yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (AS), pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan kerajaan negeri menarik balik faedah bantuan makanan bagi November dan hanya menyalurkan sebahagian daripadanya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Pentadbiran Presiden Donald Trump arahkan kerajaan negeri AS tarik balik faedah bantuan makanan November, hanya sebahagian disalurkan, menimbulkan kecaman Demokrat dan kumpulan kebajikan.
  • Sekitar 42 juta rakyat menerima bantuan Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP), terutamanya keluarga dengan anak kecil, ibu bapa tunggal, dan warga emas.
  • Jabatan Pertanian AS (USDA) nyatakan larangan bagi kerajaan negeri salurkan bayaran penuh SNAP, ancam pembatalan pembiayaan jika arahan tidak dipatuhi.


Langkah yang diumumkan lewat Sabtu itu menerima kecaman daripada parti Demokrat dan kumpulan advokasi kebajikan.

"Kami akan terus menentang usaha pentadbiran Trump untuk menarik balik bantuan makanan daripada kanak-kanak, keluarga dan warga emas di Wisconsin," kata Gabenor Demokrat negeri itu, Tony Evers di platform media sosial X pada Ahad.

Menurut data kerajaan, kira-kira 42 juta rakyat menerima bantuan di bawah Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP), terutamanya keluarga dengan anak kecil, ibu atau bapa tunggal serta warga emas.

Dalam memo yang dikeluarkan, Jabatan Pertanian AS (USDA) memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak dibenarkan memindahkan keseluruhan bayaran bantuan kepada penyedia perkhidmatan yang menguruskan SNAP.

USDA menjelaskan bahawa sekiranya kerajaan negeri telah menyalurkan bayaran penuh SNAP, tindakan itu "tidak dibenarkan" dan mereka perlu segera membatalkan sebarang proses pembayaran penuh bagi November.

Jabatan itu turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan kerajaan persekutuan membatalkan bahagian pembiayaannya, serta menuntut negeri-negeri bertanggungjawab terhadap apa yang dianggap sebagai pembayaran berlebihan.

Isu itu berpunca daripada penutupan kerajaan persekutuan yang kini menjadi paling lama dalam sejarah negara, mencecah 40 hari.

SNAP dibiayai oleh kerajaan persekutuan tetapi dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Terdahulu, seorang hakim di Rhode Island mengarahkan secara sementara agar pentadbiran Trump membayar bantuan itu sepenuhnya, walaupun terpaksa menggunakan dana kecemasan.

-- BERNAMA



#Amerika Syarikat #Donald Trump #bantuan makanan #keputusan mahkamah