DUNIA

Trump arah Pentagon mulakan semula ujian senjata nuklear, tamatkan moratorium 33 tahun

Astro Awani 30/10/2025 | 04:30 MYT
Trump (foto) arah Pentagon mulakan semula ujian senjata nuklear, tamatkan moratorium sejak 1992. -Gambar fail/Reuters
GYEONGJU: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengarahkan Pentagon untuk menyambung semula ujian senjata nuklear, sekali gus menamatkan moratorium selama 33 tahun yang bermula sejak 1992.


Ringkasan AI
  • Trump arah Pentagon mulakan semula ujian senjata nuklear, tamatkan moratorium sejak 1992.
  • Langkah ini sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear Rusia dan China, menjelang pertemuan dengan Xi Jinping di Sidang Kemuncak APEC.
  • Penganalisis bimbang arahan ini cetus perlumbaan senjata baharu dan jejaskan usaha pelucutan senjata global.


Arahan itu diumumkan menerusi platform Truth Social, beberapa jam sebelum pertemuan beliau dengan Presiden China, Xi Jinping, sempena Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di Busan, Korea Selatan.


Trump berkata langkah tersebut adalah tindak balas terhadap program ujian nuklear oleh negara lain, khususnya Rusia dan China, yang menurut beliau telah meningkatkan ancaman strategik terhadap keselamatan global.

"Amerika Syarikat memiliki lebih banyak senjata nuklear berbanding mana-mana negara lain.

"Pencapaian ini termasuk kerja pengemaskinian dan pengubahsuaian menyeluruh terhadap senjata sedia ada, yang telah dilaksanakan semasa penggal pertama pentadbiran saya.

"Disebabkan kuasa pemusnah yang amat dahsyat, saya amat tidak menyukainya, namun tiada pilihan lain!

"Rusia berada di kedudukan kedua, manakala China jauh di belakang, tetapi dijangka menyamai tahap Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Disebabkan program ujian negara lain, saya telah mengarahkan Jabatan Perang untuk memulakan ujian senjata nuklear kita secara setara.

"Proses itu akan bermula serta-merta,” kata Trump dalam kenyataan tersebut.

Langkah ini menandakan perubahan dasar ketara, memandangkan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Larangan Menyeluruh Ujian Nuklear (CTBT) pada 1996, walaupun belum meratifikasikannya secara rasmi.

Ujian terakhir oleh AS dilakukan pada 1992, dan sejak itu negara tersebut hanya menjalankan simulasi komputer serta eksperimen subkritikal.

Penganalisis keselamatan antarabangsa menyuarakan kebimbangan bahawa arahan ini berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata baharu serta menjejaskan usaha pelucutan senjata nuklear secara global.

Rusia dilaporkan telah berjaya menguji torpedo nuklear berkuasa Poseidon dan peluru berpandu Burevestnik, manakala China giat memperluas kapasiti arsenalnya dan dijangka menyamai kekuatan nuklear AS dalam tempoh lima tahun.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai lokasi atau jadual ujian yang dirancang. Namun, Tapak Keselamatan Nasional Nevada kekal sebagai lokasi berpotensi memandangkan infrastrukturnya masih tersedia untuk ujian berskala penuh.









#Donald Trump #ujian senjata nuklear #Moratorium #Rusia dan China