GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Trump bakal tentukan tempoh akhir Hamas terima pelan Gaza – White House

Agensi 02/10/2025 | 22:50 MYT
Presiden Trump akan menentukan sendiri tempoh akhir untuk Hamas menerima cadangan yang disokong Israel bagi menghentikan pertempuran di Gaza, menurut White House pada Khamis. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menentukan sendiri tempoh akhir untuk Hamas menerima cadangan yang disokong Israel bagi menghentikan pertempuran di Gaza, menurut White House pada Khamis.

Trump sebelum ini berkata, beliau memberi Hamas tiga hingga empat hari untuk menerima dokumen 20 perkara yang menggariskan syarat pelucutan senjata kumpulan itu – sesuatu yang pernah ditolak Hamas sebelum ini.

Sumber rapat kumpulan pejuang Palestin itu memaklumkan, Hamas kini sedang meneliti cadangan tersebut.

Ditanya dalam satu temubual di Fox News mengenai titik akhir yang menandakan Hamas “menolak” pelan itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt, menjawab:

“Ia adalah garisan merah yang perlu ditentukan Presiden Amerika Syarikat. Saya yakin beliau akan melakukannya. Presiden dan pasukannya telah berusaha keras menghasilkan pelan 20 perkara yang komprehensif dan terperinci.”

Leavitt menambah: “Ini adalah pelan yang munasabah dan kami berharap serta menjangkakan Hamas menerimanya supaya kita boleh bergerak ke hadapan.”

Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.

Sebahagian besar daripada 20 perkara itu turut pernah dimasukkan dalam beberapa cadangan gencatan senjata sepanjang dua tahun lalu - ada yang diterima dan kemudian ditolak oleh Israel mahupun Hamas pada peringkat berbeza. - Agensi





#gencatan senjata #White House #Hamas #pelan Presiden Trump #tarikh akhir buat Hamas