Skip to main content

Dunia

Trump bayar AS$5.6 juta kepada penulis selepas kalah kes serangan seksual, fitnah

FILE PHOTO: Writer E. Jean Carroll leaves the 2nd U.S. Circuit Court of Appeals, where former U.S. President Donald Trump is asking a federal appeals court to overturn a $5 million jury verdict finding him liable for sexually assaulting and defaming her, who accused Trump of raping her nearly three decades ago, in Manhattan, New York, U.S., September 6, 2024. REUTERS/Adam Gray/File Photo
Carroll yang merupakan bekas wartawan dan kolumnis mendakwa, Trump menyerangnya di sebuah bilik persalinan di gedung serbaneka di New York pada 1996. - Gambar fail Reuters
Advertisement

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah membayar sebanyak AS$5.6 juta kepada penulis E. Jean Carroll selepas juri dalam perbicaraan sivil memutuskan beliau bertanggungjawab atas dakwaan serangan seksual dan fitnah terhadap wanita itu.

Perkara itu didedahkan menerusi dokumen mahkamah yang difailkan pada Selasa.

Peguam Carroll, Roberta Kaplan berkata, keputusan tersebut menamatkan satu proses undang-undang yang bermula sejak beberapa tahun lalu.

“Tiga tahun lalu, juri yang dianggotai sembilan individu sebulat suara memutuskan Presiden Trump bertanggungjawab atas serangan seksual dan fitnah terhadap E. Jean Carroll.

“Hari ini, kami gembira untuk memaklumkan bahawa beliau telah menerima bayaran ganti rugi yang diperintahkan juri menerusi keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembayaran berkenaan dibuat selepas Mahkamah Agung AS pada penghujung Jun lalu menolak rayuan Trump terhadap keputusan asal yang dibuat pada Mei 2023, sekali gus menjadikan keputusan tersebut muktamad.

Carroll, 82, yang merupakan bekas wartawan dan kolumnis, mendakwa, Trump menyerangnya di sebuah bilik persalinan di gedung serbaneka di New York pada 1996.

Selepas dakwaan itu diterbitkan dalam sebuah buku pada 2019, Trump menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan Carroll sebagai seorang yang tidak waras, selain mendakwa wanita itu mereka-reka cerita tersebut.

Dalam kes fitnah berasingan yang turut difailkan di New York, Trump diperintahkan membayar sebanyak AS$83.3 juta kepada Carroll.

Keputusan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada proses rayuan meskipun mahkamah sebelum ini mengekalkan penghakiman berkenaan. 

Penguatkuasaan bayaran tersebut masih digantung sementara menunggu perkembangan lanjut kes itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement