INTERNATIONAL
Trump ‘belum pertimbang’ untuk bertanding penggal ketiga Presiden AS

Donald Trump menegaskan, beliau “belum mempertimbangkan” untuk bertanding bagi penggal ketiga jawatan Presiden Amerika Syarikat.- Gambar AP
WASHINGTON: Donald Trump menegaskan, beliau “belum mempertimbangkan” untuk bertanding bagi penggal ketiga jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), ketika ditanya mengenai kemungkinan mencalonkan diri walaupun terdapat larangan dalam Pindaan Ke-22 Perlembagaan negara itu.
“Ada banyak perbincangan mengenai bertanding untuk penggal ketiga. Saya tidak tahu. Saya tidak pernah menelitinya.
“Mereka kata ada cara untuk melakukannya, tetapi saya tidak tahu tentang itu. Saya belum mempertimbangkannya,” kata Trump ketika menjawab soalan wartawan di Pejabat Oval, di sini, pada Isnin.
Ditanya pendapatnya mengenai kemungkinan menentang bekas Presiden Barack Obama jika kedua-duanya dibenarkan bertanding untuk penggal ketiga, Trump berkata: “Saya suka dengan idea itu.”“Itu akan jadi pertarungan yang menarik. Saya suka,” katanya sambil mendakwa, ramai yang meminta beliau untuk bertanding sekali lagi.
Sebelum ini, Trump pernah mendakwa dalam satu temu bual telefon bersama NBC News bahawa "ada cara" untuk beliau bertanding bagi penggal ketiga jawatan Presiden AS.
Dalam wawancara dengan NBC News pada Ahad, Trump secara langsung menangani spekulasi mengenai kemungkinan penggal ketiga dan berkata: “Tidak… saya tidak bergurau. Saya tidak bergurau,” namun menambah bahawa “masih terlalu awal untuk memikirkannya.”
“Ada cara untuk melakukannya, seperti yang anda tahu,” katanya tanpa memperincikan jalan perundangan atau politik yang mungkin diambil. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami