Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

Trump beri amaran keras kepada Hamas supaya lucut senjata

Agensi 14/10/2025 | 23:10 MYT
Presiden Trump memegang dokumen yang ditandatangani semasa sidang kemuncak bagi menyokong usaha menamatkan perang Israel-Hamas susulan kejayaan mencapai perjanjian gencatan senjata, pada Isnin, 13 Okt 2025, di Sharm El Sheikh, Mesir. - Gambar AP
WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada pasukan pejuang Palestin, Hamas agar melucutkan senjata atau berdepan tindakan ketenteraan.

“Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan senjata mereka - dan ia akan berlaku dengan cepat, mungkin juga secara kekerasan,” katanya semasa pertemuan bersama Presiden Argentina, Javier Milei di White House, di sini, pada Selasa.

Amaran itu dibuat ketika Washington berusaha mengekalkan tekanan terhadap Hamas supaya mematuhi sepenuhnya syarat gencatan senjata, dengan Trump menegaskan, kesabaran Amerika Syarikat semakin terbatas sekiranya kumpulan itu gagal menyerahkan baki tebusan dan senjata mereka.

Dalam masa sama, Trump menggesa Hamas supaya memulangkan baki mayat tebusan yang masih ditahan di Gaza, sambil menegaskan sudah tiba masanya untuk memulakan fasa baharu perjanjian gencatan senjata yang dirundingnya ketika lawatan ke Timur Tengah baru-baru ini.

“SEMUA 20 TEBUSAN TELAH DIKEMBALIKAN DAN DALAM KEADAAN BAIK SETAKAT YANG BOLEH DIHARAPKAN. Satu beban besar telah terangkat, tetapi tugas BELUM SELESAI,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

“YANG MENINGGAL DUNIA BELUM DIKEMBALIKAN SEPERTI YANG DIJANJIKAN! Fasa Dua bermula SEKARANG!!!” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Trump pulang dari lawatan pantas ke Israel dan Mesir, di mana beliau menyifatkan situasi terkini sebagai “fajar bersejarah bagi Asia Barat baharu” serta menandatangani satu deklarasi bersama pemimpin rantau itu untuk mengukuhkan gencatan senjata di Gaza.

Di bawah perjanjian tersebut, Hamas membebaskan 20 tebusan yang masih hidup - yang ditawan ketika serangan 7 Oktober 2023 - beberapa jam sebelum ketibaan Trump di Baitulmaqdis.

Setakat ini Hamas telah memulangkan empat mayat, manakala 24 lagi masih berada di Gaza dan dijangka diserahkan dalam fasa kedua perjanjian gencatan senjata itu.

Sebuah hospital di Gaza turut mengesahkan menerima 45 mayat rakyat Palestin yang diserahkan semula oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menamatkan perang dua tahun itu. - Agensi



#Gencatan senjata Gaza #Hamas #amaran Donald Trump #Israel