[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
DUNIA

Trump beri masa dua minggu lagi sebelum buat keputusan serang Iran

Agensi 19/06/2025 | 23:00 MYT
Presiden Trump memberi tempoh tambahan selama dua minggu untuk usaha diplomatik sebelum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi tempoh tambahan selama dua minggu untuk usaha diplomatik sebelum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran, menurut kenyataan White House pada Khamis.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, langkah itu diambil berikutan kemungkinan wujud ruang rundingan dengan Tehran berhubung ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
“Presiden sedar terdapat peluang yang signifikan untuk rundingan bersama Iran dalam masa terdekat. Oleh itu, beliau akan menangguhkan sebarang keputusan mengenai tindakan ketenteraan dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya dalam satu sidang media.
Trump sebelum ini memaklumkan, pihak Iran telah menyatakan hasrat untuk berbincang mengenai program nuklear dan penyelesaian konflik dengan Israel - satu dakwaan yang kemudiannya dinafikan oleh pihak Iran.
Meskipun begitu, Leavitt mengesahkan bahawa komunikasi antara kedua-dua negara masih berterusan, termasuk menerusi Utusan Khas Trump, Steve Witkoff.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Witkoff akan menghadiri rundingan di Geneva bersama wakil Iran.
Presiden Trump juga difahamkan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat tertutup di Bilik Situasi White House minggu ini bagi menilai pilihan ketenteraan yang ada, sekiranya rundingan gagal membuahkan hasil.
“Trump masih meneliti semua opsyen. Beliau pernah menyatakan – ‘Saya mungkin akan lakukannya, dan mungkin juga tidak’ – merujuk kepada kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran,” jelas Leavitt lagi.
Ketegangan antara Iran dan Israel terus memuncak sejak beberapa minggu lalu, dengan serangan balas antara kedua-dua pihak mencetuskan kebimbangan mengenai konflik serantau yang lebih besar. - Agensi
#Konflik Iran-Israel #Amerika serang Iran #Israel serang Iran #Donald Trump