DUNIA

Trump beri pengampunan puluhan individu dituduh campur tangan pilihan raya 2020

Bernama 10/11/2025 | 15:30 MYT
Mereka yang diberi pengampunan termasuk bekas peguam Trump dan bekas Datuk Bandar New York City Rudy Giuliani serta bekas Ketua Turus Rumah Putih Mark Meadows. - Gambar fail/Reuters
MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani dekri yang memberi pengampunan kepada puluhan individu yang dituduh campur tangan dalam pilihan raya presiden 2020, kata Peguam Pengampunan Ed Martin, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Presiden Donald Trump mengampuni puluhan individu termasuk Rudy Giuliani dan Mark Meadows yang dituduh campur tangan dalam pilihan raya presiden AS 2020.
  • Pengampunan tersebut tidak termasuk Trump sendiri yang mendakwa 11 individu atas tuduhan campur tangan dalam pilihan raya 2020 di Arizona.
  • Selepas insiden penyerbuan Capitol pada 6 Januari 2021, Trump menandatangani dekri yang memberi pengampunan kepada kira-kira 1,500 individu yang terlibat dalam rusuhan tersebut.


Mereka yang diberi pengampunan termasuk bekas peguam Trump dan bekas Datuk Bandar New York City Rudy Giuliani serta bekas Ketua Turus Rumah Putih Mark Meadows.

"Pengisytiharan ini menamatkan ketidakadilan serius di peringkat nasional yang dilakukan terhadap rakyat Amerika selepas Pilihan Raya Presiden 2020... Saya, Donald J. Trump, dengan ini memberikan pengampunan penuh, menyeluruh dan tanpa syarat... Senarai pengampunan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada: Rudolph Giuliani... Mark Meadows," kata Martin yang memuat naik teks pengampunan itu di platform media sosial X lewat Ahad.

Bagaimanapun, dokumen itu menyatakan bahawa pengampunan tersebut tidak terpakai kepada Trump sendiri.

Dekri berkenaan dipercayai ditandatangani pada 7 Nov lepas.

Pada April 2024, juri agung di negeri Arizona mendakwa 11 individu yang merupakan "sekutu rapat" Trump atas tuduhan campur tangan dalam pilihan raya 2020, termasuk Giuliani kerana didakwa cuba membatalkan kekalahan Trump dalam pilihan raya itu.

Pada Mei 2024, Giuliani dikenakan pertuduhan rasmi ketika sambutan hari lahirnya. Mahkamah kemudiannya memerintah beliau membayar US$148 juta kepada dua pegawai suruhanjaya pilihan raya Georgia kerana fitnah dan tekanan emosi.

Pada 6 Jan 2021, penunjuk perasaan pro-Trump menceroboh kompleks Capitol dan menyebabkan kelewatan dalam pengesahan keputusan pilihan raya presiden 2020 yang memihak kepada bekas Presiden AS Joe Biden.

Ratusan individu telah didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan rusuhan itu. Lebih 1,570 defendan telah didakwa di peringkat persekutuan atas jenayah berkaitan serangan pada 6 Jan berkenaan.

Sejurus selepas beliau mengangkat sumpah pada 2025, Trump menandatangani satu dekri bagi memberi pengampunan kepada kira-kira 1,500 individu yang disabitkan kesalahan menceroboh Capitol.

Ramai daripada mereka yang didakwa turut dihalang daripada melawat Washington DC atau meninggalkan negeri masing-masing walaupun selepas dibebaskan.

-- BERNAMA

#Donald Trump #media sosial #pilihan raya #rusuhan