[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
DUNIA

Trump bermain golf di Scotland, penyokong laung 'Jangan percaya Starmer'

Bernama 27/07/2025 | 22:40 MYT
Trump yang memakai topi besbol putih bertulis "USA" sempat melambai ke arah wartawan yang menjerit mengajukan soalan ketika beliau memulakan permainan. - Foto REUTERS
LONDON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump muncul di padang golf miliknya di Turnberry, Scotland pada pagi Ahad dan disambut penyokong yang menggesa beliau dengan laungan "jangan percaya Starmer," lapor PA Media/dpa.

Pemimpin Republikan itu tiba kira-kira pukul 11 pagi (1000 GMT) di padang golf berhadapan pantai di Ayrshire dan bermain golf bersama anak lelakinya, Eric.

Pasukan polis dilihat berkawal di kawasan padang golf itu sementara beberapa kenalan Trump bermain lebih awal sebelum ketibaan konvoi besar kenderaan bugi kira-kira pukul 10.40 pagi.

Trump yang memakai topi besbol putih bertulis "USA" sempat melambai ke arah wartawan yang menjerit mengajukan soalan ketika beliau memulakan permainan.

Sekumpulan kecil penyokong turut berdiri di kawasan berpasir berhampiran, membawa pelekat bertulis "Jangan percaya Starmer" dan melaungkan "Kami sayang anda, Trump."

Tiga penyokong dilihat membawa pelekat tulisan tangan yang tertera "Presiden Trump, jangan percaya Starmer" disertai kata-kata eksplisit terhadap Perdana Menteri United Kingdom (UK) itu. Ia dipegang bersama oleh seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi besbol Adidas.

Seorang wanita yang turut memegang sepanduk itu memakai topi besbol merah bertulis "Make America Great Again" lengkap dengan rambut palsu.

Seorang lagi wanita mengenakan jaket bercorak bunga, mengibarkan bendera AS dan memakai topi besbol bertulis "Make England Great Again" sambil membawa plak kecil yang turut mengandungi kata eksplisit terhadap Starmer.

Seorang penyokong wanita kedengaran berulang kali menjerit "Kami sayang anda Trump" dan "terima kasih." Individu lain pula melaungkan "Trump, Trump, Trump, Trump."

Sorakan kedengaran sejurus Trump membuat pukulan, dan beliau kelihatan membalas laungan penyokongnya walaupun ucapannya tidak jelas didengari.

Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Ahad untuk membincangkan hubungan dagang antara Eropah dan Amerika Syarikat.

Beliau turut dijadual bertemu Perdana Menteri UK Keir Starmer pada Isnin, dengan perbincangan turut dijangka tertumpu kepada isu perdagangan.

--BERNAMA-PA MEDIA/dpa










#Donald Trump #golf #padang golf Turnberry #Eric Trump