DUNIA

Trump bimbang penggabungan Netflix-Warner Bros cetus isu monopoli

Astro Awani 08/12/2025 | 05:30 MYT
Trump suarakan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan bernilai AS$72 bilion di antara Netflix Inc dan Warner Bros Discovery Inc. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan bernilai AS$72 bilion di antara Netflix Inc dan Warner Bros Discovery Inc, menyifatkan langkah itu mungkin menimbulkan isu pemusatan kuasa pasaran dalam industri penstriman.


Ringkasan AI
  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan bernilai AS$72 bilion antara Netflix Inc dan Warner Bros Discovery Inc, menimbulkan isu pemusatan kuasa pasaran dalam industri penstriman.
  • Trump mengesahkan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, bagi membincangkan pengambilalihan Warner Bros, HBO, dan perkhidmatan penstriman HBO Max.
  • Penggabungan ini boleh memberikan Netflix akses kepada kandungan ikonik seperti francais Harry Potter, Game of Thrones, The Matrix, dan The Lord of the Rings.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Bercakap kepada wartawan ketika menghadiri acara Kennedy Center Honors di Washington pada Ahad, Trump mengesahkan beliau telah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, bagi membincangkan perjanjian tersebut yang merangkumi pengambilalihan Warner Bros, HBO dan perkhidmatan penstriman HBO Max.

“Saya telah bertemu Ted Sarandos baru-baru ini. Beliau seorang yang hebat. Tetapi apabila Netflix memiliki Warner Bros, itu akan meningkatkan lagi pegangan pasaran mereka.

"Ia satu pegangan yang besar. Ia mungkin menimbulkan masalah,” kata Trump.

Trump turut menegaskan beliau akan terlibat secara langsung dalam proses kelulusan perjanjian itu, yang dijangka melalui semakan ketat oleh Jabatan Kehakiman AS.

“Ia perlu melalui satu proses. Kita akan lihat bagaimana hasilnya,” tambah beliau.

Perjanjian yang diumumkan pada Jumaat lalu tidak termasuk rangkaian kabel seperti CNN dan TNT yang kini dimiliki Warner Bros Discovery.

Jika diluluskan, ia akan memberikan Netflix akses kepada katalog luas kandungan ikonik termasuk francais Harry Potter, Game of Thrones, The Matrix, dan The Lord of the Rings.

Penganalisis industri menjangkakan penggabungan ini berpotensi mengubah landskap hiburan global, dengan Netflix mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama pasaran penstriman.

Namun, kebimbangan terhadap monopoli dan kesan terhadap persaingan dijangka menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa.

Pasaran turut memberi reaksi terhadap kenyataan Trump, dengan ramalan dalam platform Polymarket menunjukkan kebarangkalian perjanjian itu dimuktamadkan sebelum akhir 2026 menurun daripada 60 peratus kepada hanya 23 peratus selepas kenyataan Presiden itu disiarkan.

Setakat ini, Netflix dan Warner Bros Discovery belum mengeluarkan kenyataan rasmi susulan komen Trump.


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah kebimbangan yang disuarakan oleh Presiden Trump berkenaan penggabungan Netflix dan Warner Bros Discovery?
    A: Presiden Trump bimbang penggabungan itu boleh menimbulkan isu pemusatan kuasa pasaran dalam industri penstriman.
  • Q: Siapakah yang Trump telah temui bagi membincangkan perjanjian pengambilalihan Warner Bros?
    A: Trump telah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, untuk membincangkan perjanjian tersebut.
  • Q: Apa potensi akses yang akan diberikan kepada Netflix jika perjanjian ini diluluskan?
    A: Pengambilalihan ini memberi Netflix akses kepada katalog kandungan ikonik termasuk francais Harry Potter, Game of Thrones, The Matrix, dan The Lord of the Rings.



#Donald Trump #Netflix #cadangan penggabungan #Warner Bros Discovery #DoJ