DUNIA

Trump buat 'u-turn', kali ini Presiden AS puji tentera UK selepas cetus kemarahan isu Afghanistan

Agensi 24/01/2026 | 23:20 MYT
Presiden Trump memuji keberanian tentera United Kingdom (UK) yang berkhidmat di Afghanistan, selepas kenyataannya sebelum ini mencetuskan kemarahan veteran, keluarga tentera dan pemimpin politik UK. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji keberanian tentera United Kingdom (UK) yang berkhidmat di Afghanistan, selepas kenyataannya sebelum ini mencetuskan kemarahan veteran, keluarga tentera dan pemimpin politik UK.

Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump menggambarkan anggota tentera Britain sebagai “antara pahlawan terhebat”, sekali gus dilihat cuba meredakan kritikan selepas mendakwa sekutu NATO “tidak berada di barisan hadapan” sepanjang perang di Afghanistan.

Kontroversi bermula apabila dalam temu bual bersama Fox News pada Khamis, Trump mengurangkan peranan pasukan NATO dalam konflik Afghanistan.

“Kami tidak pernah benar-benar memerlukan mereka… mereka hantar tentera, tetapi mereka berada sedikit jauh dari barisan hadapan,” katanya.

Ucapan itu mencetuskan reaksi segera pelbagai pihak, termasuk daripada veteran perang di UK dan AS selain keluarga tentera yang terkorban.

Pemimpin politik British termasuk Perdana Menteri, Sir Keir Starmer menyifatkan kenyataan Presiden AS itu sebagai “menghina dan mengecewakan.”

Tidak ketinggalan pemimpin antarabangsa dari Kanada, Itali dan negara NATO lain turut membidas kenyataan lantang Trump itu.

Putera Harry turut mengulas sambil mengingatkan bahawa NATO hanya pernah mengaktifkan Artikel 5 sekali sahaja dalam sejarah - iaitu bagi menyokong AS selepas serangan 9/11 yang membawa kepada operasi ketenteraan di Afghanistan.

Bekas pegawai tentera British itu turut berkongsi pengalaman peribadi.

“Saya berkhidmat di sana. Saya membina persahabatan sepanjang hayat. Dan saya kehilangan rakan seperjuangan,” kata Putera Harry.

Selepas berbual dengan Perdana Menteri UK pada Sabtu, Trump mengeluarkan kenyataan baharu yang jauh berbeza nadanya.

“Anggota tentera Britain yang hebat dan berani akan sentiasa bersama Amerika Syarikat. Di Afghanistan, 457 terkorban dan ramai cedera… mereka antara pahlawan terhebat.”

Trump turut menambah bahawa hubungan tentera UK-AS adalah “ikatan yang terlalu kuat untuk diputuskan.”

Bagaimanapun, beliau masih tidak mengeluarkan permohonan maaf secara langsung.

Perang Afghanistan bermula pada Oktober 2001 apabila AS melancarkan serangan untuk menumbangkan Taliban, yang dituduh melindungi Osama bin Laden dan anggota Al-Qaeda susulan serangan 9/11.
Fakta penting:

Lebih 3,500 tentera gabungan terbunuh menjelang 2021 dengan AS mencatat angka korban tertinggi: 2,461 anggota, UK pula merekodkan 457 kematian, kedua tertinggi selepas AS.

Sebahagian besar anggota Britain yang terkorban berkhidmat di wilayah Helmand, kawasan paling sengit dalam operasi ketenteraan NATO.

Veteran seperti Koperal Andy Reid yang kehilangan kedua-dua kaki dan lengan kanan mengakui, trauma perang itu masih dirasai hingga kini.

“Jika tentera AS berada di barisan hadapan dan saya berada di sebelah mereka, sudah tentu kami juga berada di barisan hadapan,” katanya.






#Donald Trump #u-turn #isu Afghanistan #tentera UK