INTERNATIONAL

Trump cadang potong bajet AS sebanyak AS$163 bilion

Agensi 02/05/2025 | 23:45 MYT
Pentadbiran Trump mencadangkan pengurangan bajet persekutuan sebanyak AS$163 bilion yang akan menyaksikan pemotongan besar dalam sektor pendidikan, pe rumahan dan penyelidikan perubatan tahun depan. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat (2 Mei) mencadangkan pengurangan bajet persekutuan sebanyak AS$163 bilion yang akan menyaksikan pemotongan besar dalam sektor pendidikan, perumahan dan penyelidikan perubatan tahun depan, sambil meningkatkan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan sempadan.
Menurut White House Office of Management and Budget (OMB), perbelanjaan bagi keselamatan dalam negeri dijangka meningkat hampir 65 peratus berbanding tahap semasa, selaras dengan komitmen Trump untuk memperketat kawalan terhadap imigresen haram.
Perbelanjaan tidak berkaitan pertahanan yang tidak termasuk program besar seperti Jaminan Sosial dan Medicare serta pembayaran faedah hutang negara akan dipotong sebanyak 23 peratus, menjadikannya pada tahap paling rendah sejak 2017.
Cadangan itu turut melibatkan pemotongan lebih AS$2 bilion daripada bajet Lembaga Hasil Dalam Negeri (IRS) dan pengurangan lebih 40 peratus terhadap bajet Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Bajet pertama Trump sejak kembali ke White House ini mencerminkan janjinya untuk memperkukuh keselamatan sempadan dan mengecilkan saiz birokrasi persekutuan.
Namun, pemotongan drastik dalam perbelanjaan domestik menerima kritikan hebat daripada Demokrat dan kebimbangan daripada sesetengah Republikan, khususnya dalam isu pertahanan.
Pengarah OMB, Russ Vought, menyatakan: “Pada saat yang kritikal ini, kita perlukan bajet bersejarah yang menamatkan pembiayaan kejatuhan negara, mengutamakan rakyat Amerika dan memberi sokongan luar biasa kepada tentera serta keselamatan tanah air.”
Cadangan itu turut menyarankan pemotongan AS$50 bilion kepada Jabatan Negara, termasuk penyusunan semula Agensi Pembangunan Antarabangsa (USAID) dan mengurangkan hampir separuh peruntukan Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD).
Bajet NASA, FBI dan agensi penguatkuasaan lain seperti Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) juga terkesan.
Trump turut mencadangkan pengurangan besar ke atas Jabatan Pendidikan, selaras dengan rancangannya untuk menutup atau mengecilkan peranan jabatan itu. Bajet jabatan itu akan dikurangkan kira-kira 15 peratus.
Pemimpin Demokrat Senat, Chuck Schumer, menyifatkan langkah Trump itu sebagai “serangan menyeluruh terhadap rakyat pekerja keras Amerika” dan berkata: “Hari-hari Donald Trump berpura-pura menjadi populis sudah berakhir.”
Walaupun pentadbiran Trump merancang menambah 13 peratus dalam perbelanjaan pertahanan, beberapa Republikan berpendapat jumlah tersebut tidak cukup memandangkan kadar inflasi semasa.
Cadangan bajet ini juga memperuntukkan tambahan AS$500 juta bagi meningkatkan keselamatan sempadan termasuk program penghantaran pulang pendatang tanpa izin secara besar-besaran, serta AS$766 juta lagi bagi teknologi sempadan dan penambahan pegawai imigresen.
Walaupun Kongres lazimnya akan melakukan pelbagai pindaan terhadap bajet yang dicadangkan White House, namun, pengaruh kuat Trump dalam Parti Republikan berpotensi membolehkan beliau memperoleh sebahagian besar daripada apa yang dimahukannya. - Agensi
#Donald Trump #bajet Amerika Syarikat #Trump potong bajet #White House