ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menggesa supaya nama negeri New Mexico di barat daya negara itu ditukar kepada "New America", dengan alasan perubahan berkenaan mampu meningkatkan prestij, nilai hartanah dan pendapatan penduduknya, lapor Anadolu Ajansi.
"New Mexico perlu segera menukar namanya kepada New America. Kita bukan Mexico, kita ialah Amerika Syarikat!"
"Nama itu akan meningkatkan nilai dan prestij negeri berkenaan! Nilai rumah dan pendapatan akan meningkat, malah anda akan berasa lebih bangga ketika memberikan tabik hormat kepada bendera Amerika yang indah!" tulis Trump menerusi platform Truth Social.
Trump kali pertama mengemukakan cadangan itu pada September lalu apabila menyifatkan "New America" sebagai nama yang lebih berprestij bagi New Mexico.
Bagaimanapun, Trump tidak mempunyai kuasa untuk menukar nama sesebuah negeri secara unilateral kerana perubahan nama New Mexico memerlukan pindaan Perlembagaan negeri itu.
Gabenor New Mexico daripada Parti Demokrat, Michelle Lujan Grisham sebelum ini menolak cadangan berkenaan ketika Trump kali pertama membangkitkannya bulan lalu.
Cadangan itu menyusuli beberapa usaha terdahulu Trump untuk menamakan semula lokasi geografi, termasuk perintah eksekutif yang ditandatanganinya pada Januari 2025 bagi mengarahkan pihak berkuasa persekutuan AS menggunakan nama "Gulf of America" bagi menggantikan "Gulf of Mexico" (Teluk Mexico).
Pada Ogos lalu, beliau menandatangani satu lagi perintah eksekutif yang mengarahkan agensi persekutuan AS menamakan semula Tasik Ontario, yang bersempadan dengan AS dan Kanada, sebagai "Lake America".
Trump turut membangkitkan kemungkinan menamakan semula Lautan Atlantik atau Lautan Pasifik sebagai "Trump Ocean" atau "Ocean of the Americas" ketika berucap pada satu perhimpunan di Tennessee pada 10 Okt.
-- BERNAMA-ANADOLU