Skip to main content

Dunia

Trump dakwa Demokrat ancaman terbesar ketika AS berdepan kebuntuan pembiayaan

resident Donald Trump speaks with reporters before departing on Marine One from the South Lawn of the White House, Friday, March 20, 2026, in Washington, as Secretary of State Marco Rubio listens. (AP Photo/Alex Brandon)
Trump menyifatkan situasi politik semasa di AS ketika ini sebagai kritikal dan memberi tekanan kepada pihak lawan. - Foto fail/AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad mendakwa Parti Demokrat merupakan ancaman politik terbesar kepada negara itu ketika AS masih berdepan kebuntuan berhubung isu pembiayaan kerajaan persekutuan.

Menerusi satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump menyifatkan situasi politik semasa di AS ketika ini sebagai kritikal dan memberi tekanan kepada pihak lawan.

Advertisement

“Parti Demokrat adalah ancaman politik terbesar kepada Amerika Syarikat,” kata Trump dalam hantaran tersebut.

Selain itu, dalam perkembangan berkaitan, Trump turut memaklumkan bahawa anggota Immigration and Customs Enforcement (ICE) akan digerakkan ke lapangan terbang di seluruh negara bagi membantu petugas Transportation Security Administration (TSA) mulai Isnin.

Dalam masa yang sama, beliau turut memuji komitmen pekerja TSA yang terus menjalankan tugas walaupun berdepan kekangan susulan penutupan sebahagian operasi kerajaan.

“Saya menghargai dedikasi petugas TSA yang terus berkhidmat walaupun tanpa bayaran dalam keadaan mencabar ini,” tambahnya lagi.

Difahamkan, pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Trump pertama kali mengancam untuk menghantar pasukan ICE ke lapangan terbang sekiranya Parti Demokrat enggan bersetuju menamatkan penutupan sebahagian operasi kerajaan.

Sementara itu, menurut laporan agensi antarabangsa, TSA kini beroperasi tanpa bayaran sejak penutupan sebahagian kerajaan bermula pada Februari lalu. Keadaan itu berpunca daripada kegagalan Parti Republikan dan Demokrat mencapai kata sepakat berhubung peruntukan baharu.

Dalam pada itu, isu pembiayaan kepada ICE terus menjadi pertikaian utama apabila Parti Demokrat menolak cadangan penambahan dana. 

Penolakan tersebut dibuat susulan beberapa operasi imigresen kontroversi yang dikaitkan dengan kematian serta bantahan awam di beberapa bandar utama.

Sebaliknya, pihak Demokrat hanya bersedia meluluskan dana tambahan sekiranya pembaharuan besar dilaksanakan terhadap operasi agensi berkenaan.

Walaupun berkhidmat tanpa bayaran sepanjang tempoh penutupan kerajaan, pekerja TSA masih diwajibkan bertugas kerana diklasifikasikan sebagai kakitangan kritikal.

Pada masa sama, senator daripada Parti Demokrat turut berusaha meluluskan rang undang-undang berskala kecil bagi membiayai beberapa agensi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, termasuk Federal Emergency Management Agency (FEMA) dan TSA.

Namun begitu, usaha tersebut tidak berhasil apabila ia ditolak oleh senator daripada Parti Republikan, sekali gus mengekalkan kebuntuan politik yang masih belum menunjukkan tanda penyelesaian.

 

 

 

Must Watch Video