Trump dakwa guna tarif sebagai tekanan untuk tamatkan perang global

Presiden AS mempertahankan pendekatan tarifnya sebagai cara yang lebih baik untuk keselamatan negara. - Foto fail/REUTERS
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad mendakwa beliau telah menamatkan lapan perang dengan menggunakan langkah perdagangan dan tarif sebagai tekanan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Donald Trump mendakwa telah menamatkan lapan perang melalui langkah perdagangan dan tarif sebagai tekanan.
- Presiden AS mempertahankan pendekatan tarifnya sebagai cara yang lebih baik untuk keselamatan negara.
- Trump mencadangkan hasil tarif untuk menyediakan dividen kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
"Jika kita menggunakan laluan tarif yang lain, dan memang ada pilihan lain yang boleh diambil, ia tidak akan memberi keselamatan negara yang sama seperti cara ini," katanya. "Cara ini pantas dan sangat berkuasa."
Ditanya mengenai kebimbangan bahawa hasil tarif seharusnya digunakan untuk mengurangkan hutang negara dan bukannya membiayai dividen, Trump berkata: "Kita akan lakukan. Saya bersetuju. Tetapi saya juga fikir kita memperoleh begitu banyak hasil melalui tarif sehingga kita juga dapat menyediakan dividen yang baik kepada golongan berpendapatan sederhana ... dan berpendapatan rendah."
Trump sebelum ini mencadangkan penggunaan hasil tarif untuk membiayai "dividen tarif US$2,000" sebagai bayaran terus kepada kebanyakan rakyat Amerika, namun Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent menyatakan dividen itu "boleh hadir dalam pelbagai bentuk" dan bukan semestinya cek.
Terdahulu di platform Truth Social miliknya, Trump menulis bahawa kaedah tarif yang sedang dipertimbangkan Mahkamah Agung AS ketika ini adalah "lebih langsung, kurang membebankan dan jauh lebih pantas" berbanding alternatif lain.
"Kelajuan, kekuatan dan kepastian sentiasa menjadi faktor penting untuk menyelesaikan tugas dengan cara yang berkekalan dan berjaya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


