DUNIA

Trump dakwa Hamas "setuju beberapa perkara penting" dalam rundingan damai

Agensi 06/10/2025 | 23:50 MYT
Presiden Trump menyatakan keyakinan bahawa perjanjian damai Gaza mampu dicapai, selepas Hamas bersetuju terhadap beberapa perkara “sangat penting” ketika rundingan dengan Israel bermula. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keyakinan bahawa perjanjian damai Gaza mampu dicapai, selepas Hamas bersetuju terhadap beberapa perkara “sangat penting” ketika rundingan dengan Israel bermula.

“Saya ada garis merah; jika syarat tertentu tidak dipenuhi, kita tidak akan lakukannya,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval apabila ditanya sama ada terdapat pra-syarat termasuk keperluan Hamas melucutkan senjata.

“Tetapi saya rasa kita berada di landasan yang baik dan saya fikir Hamas telah bersetuju terhadap perkara yang sangat penting,” katanya lagi.

Trump turut menyuarakan keyakinan terhadap peluang mencapai perjanjian apabila delegasi Hamas dan Israel memulakan rundingan tidak langsung di Mesir bagi menamatkan perang menerusi pelan 20 perkara yang dicadangkannya.

“Saya rasa kita akan dapat capai perjanjian. Sukar untuk saya katakan begitu apabila selama bertahun-tahun mereka gagal berbuat demikian,” katanya.

“Kita akan ada perjanjian Gaza, saya cukup pasti, ya.”

Trump turut menafikan laporan yang mendakwa beliau menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersikap negatif terhadap rundingan itu, sebaliknya menegaskan Netanyahu “sangat positif” mengenai usaha berkenaan. - Agensi



#Israel-Hamas #rundingan damai #Donald Trump #pelan 20 perkara