[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
DUNIA

Trump dakwa Modi setuju hentikan pembelian minyak Rusia

Agensi 15/10/2025 | 23:10 MYT
Trump (kiri) berkata, beliau menerima jaminan daripada Modi bahawa India akan menghentikan pembelian tersebut “dalam tempoh yang singkat”, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu “langkah besar.” - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah bersetuju untuk menghentikan pembelian minyak dari Rusia langkah yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Washington mengetatkan sekatan kewangan terhadap Moscow bagi menamatkan perang di Ukraine.

Trump berkata, beliau menerima jaminan daripada Modi bahawa India akan menghentikan pembelian tersebut “dalam tempoh yang singkat”, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu “langkah besar”.

Jurucakap Kedutaan India di Washington enggan mengulas kenyataan itu.

AS sebelum ini menggunakan isu pembelian minyak Rusia oleh India sebagai tekanan dalam rundingan perdagangan, namun New Delhi kekal berpendirian neutral - sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

Trump turut menegaskan, pentadbirannya kini menekan Beijing serta rakan dagang lain supaya menghentikan pembelian minyak Rusia bagi memutuskan sumber kewangan utama Moscow.

“Sekarang saya perlu pastikan China lakukan perkara yang sama,” katanya di Pejabat Oval, Rabu.

Bagaimanapun, Trump mengakui India tidak mampu menghentikan pembelian minyak secara serta-merta kerana perubahan itu memerlukan sedikit masa.

Sebagai tindak balas, pentadbiran Trump telah mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan dari India sejak Ogos lalu - termasuk penalti tambahan 25 peratus bagi sebarang urus niaga dengan Rusia.

Langkah itu dianggap hukuman terhadap India yang masih membeli minyak dan senjata dari Moscow.

India sebelum ini mempertahankan pendiriannya bahawa negara itu kekal berkecuali dalam konflik Rusia-Ukraine, malah menolak dakwaan AS kononnya New Delhi mengaut keuntungan daripada perang tersebut.

Pegawai India turut menuduh Washington mengamalkan “double standard” dengan merujuk kepada urus niaga tenaga antara Rusia dan beberapa negara Barat.

India, sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, bergantung kepada minyak mentah Rusia yang dibeli pada harga diskaun bagi menyokong pertumbuhan ekonominya.

Walaupun hubungan kedua-dua pemimpin itu dikatakan tegang ekoran isu minyak Rusia, Trump tetap memuji Modi sebagai seorang “tokoh hebat.”

Modi pula minggu lalu memaklumkan, beliau dan Trump telah berbincang serta menilai kemajuan positif dalam rundingan perdagangan antara kedua-dua negara. - Agensi


#Donald Trump #Narendra Modi #India henti beli minyak #minyak Rusia #sekatan kewangan