Skip to main content

Dunia

Trump dakwa perjanjian Iran hampir dimuktamad, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz

RC233LAMEJTX
Menurut Trump, sebarang perjanjian yang dicapai akan “secara mutlak” memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan bahawa satu perjanjian dengan Iran kini “sebahagian besarnya telah dirunding”, termasuk cadangan untuk membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak global.

Trump berkata perjanjian itu melibatkan “AS, Republik Islam Iran dan beberapa negara lain seperti yang disenaraikan”, sambil menambah bahawa butiran akhir sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, sebarang perjanjian yang dicapai akan “secara mutlak” memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

Presiden AS itu turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbualan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu, yang disifatkannya sebagai berlangsung dengan baik.

Namun, tiada butiran lanjut didedahkan mengenai hasil perbualan tersebut.

Perkembangan ini berlaku selepas ketegangan memuncak apabila AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang mencetuskan konflik di beberapa bahagian Asia Barat.

Iran kemudiannya membalas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta negara-negara sekutu AS di Teluk.

Satu gencatan senjata dicapai pada awal April, membuka ruang kepada rundingan antara Washington dan Tehran bagi mencapai perjanjian damai jangka panjang.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam temu bual dengan televisyen negara itu, berkata kedua-dua pihak sedang berusaha memuktamadkan satu memorandum persefahaman yang mengandungi 14 perkara sebagai rangka asas perjanjian.

Beliau menjelaskan bahawa rundingan lanjut dijangka diadakan dalam tempoh 30 hingga 60 hari akan datang, dengan matlamat untuk mencapai perjanjian muktamad.

Perkembangan positif ini dilihat sebagai perubahan nada selepas sebelum ini timbul laporan bahawa pentadbiran AS sedang mempertimbangkan satu lagi pusingan serangan ketenteraan terhadap Iran.

Trump sendiri dilaporkan membatalkan kehadirannya ke majlis perkahwinan anaknya, Donald Jr, bagi kekal di Washington, menegaskan kepentingan tempoh semasa dalam proses rundingan tersebut.

Minggu lalu, beliau menyifatkan gencatan senjata itu berada dalam keadaan tidak stabil selepas menolak tuntutan Tehran yang dianggapnya “tidak boleh diterima sama sekali”.

Sejak 13 April, AS telah melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Komando Pusat AS (Centcom) memaklumkan bahawa mereka telah mengalihkan lebih 100 kapal, melumpuhkan empat kapal, dan membenarkan 26 kapal bantuan kemanusiaan memasuki kawasan tersebut.

Komander Centcom, Laksamana Brad Cooper, berkata tindakan itu berkesan dalam memastikan tiada perdagangan masuk atau keluar dari pelabuhan Iran, sekaligus memberi tekanan ekonomi kepada negara tersebut.

Dalam masa yang sama, Iran mendakwa telah menguasai kawasan sekitar Selat Hormuz dan menegaskan bahawa semua kapal yang melalui laluan itu memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa Iran.

Bagaimanapun, AS dan sekutunya di Teluk secara konsisten menolak tuntutan tersebut dan mengarahkan kapal-kapal supaya tidak mematuhi arahan Iran.

Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan minyak paling penting di dunia, dengan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global melalui kawasan tersebut.

Sebarang gangguan di laluan itu berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Jika perjanjian yang dicadangkan berjaya dicapai, ia bukan sahaja berpotensi meredakan konflik di Asia Barat, malah dapat memastikan kestabilan laluan perdagangan strategik yang kritikal kepada bekalan tenaga dunia.

Buat masa ini, komuniti antarabangsa menantikan pengumuman rasmi yang dijangka menentukan hala tuju hubungan AS-Iran serta kestabilan rantau berkenaan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement