DUNIA

Trump dakwa satu lagi 'armada' AS sedang menuju ke Iran

Astro Awani 28/01/2026 | 00:30 MYT
Gambar yang dikeluarkan Tentera Laut AS ini menunjukkan sebuah pesawat Boeing F/A-18E Super Hornet mendarat di atas kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln. - Foto AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa satu lagi “armada” tentera laut negara itu kini sedang bergerak menuju ke arah Iran, ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus memuncak.

Trump membuat kenyataan itu ketika bercakap kepada media, dengan menyifatkan armada berkenaan sebagai satu lagi kehadiran ketenteraan besar AS di rantau Asia Barat.

“Terdapat satu lagi armada yang sedang belayar menuju ke Iran sekarang. Kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya, sambil menyuarakan harapan agar Tehran bersetuju untuk mencapai perjanjian.

Kenyataan itu dibuat ketika AS telah pun mengerahkan kumpulan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama beberapa kapal pemusnah berpandu ke rantau tersebut, menurut pegawai pertahanan AS.

Langkah itu dilihat sebagai isyarat tekanan ketenteraan di tengah-tengah kebimbangan Washington terhadap tindakan Iran di dalam dan luar negara, menurut laporan Reuters.

Pentagon turut mengesahkan penghantaran aset ketenteraan tambahan, termasuk pesawat pejuang dan sistem pertahanan udara, selain penganjuran latihan ketenteraan berbilang hari di Asia Barat bagi mempamerkan keupayaan operasi AS.

Trump sebelum ini menegaskan kehadiran ketenteraan itu bertujuan sebagai langkah pencegahan, sambil menekankan bahawa beliau masih terbuka kepada penyelesaian diplomatik.

Namun, Tehran memberi amaran sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran akan dibalas, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih besar di rantau itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat susulan tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap protes dalaman, selain pertikaian berpanjangan berkaitan sekatan, keselamatan serantau dan pengaruh ketenteraan.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan maklum balas rasmi terhadap dakwaan Trump mengenai armada tambahan yang didakwa sedang menuju ke negara itu.






#Donald Trump #ARMADA #Iran #kehadiran ketenteraan