INTERNATIONAL

Trump dedah AS guna tekanan perdagangan untuk jayakan gencatan senjata India-Pakistan

Bernama 14/05/2025 | 02:00 MYT
Trump berkata, Amerika Syarikat menggunakan tekanan perdagangan sebagai inisiatif untuk membantu India dan Pakistan menamatkan ketegangan ketenteraan minggu lepas. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, negaranya menggunakan tekanan perdagangan sebagai inisiatif untuk membantu India dan Pakistan menamatkan ketegangan ketenteraan minggu lepas.
"Beberapa hari lalu, pentadbiran saya berjaya menjadi pengantara gencatan senjata bersejarah bagi menghentikan keganasan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan," katanya dalam ucapan pada forum pelaburan Arab Saudi-AS di Riyadh pada Selasa.
"Dan saya banyak menggunakan perdagangan untuk tujuan itu. Saya katakan, 'Tuan-tuan, ayuh kita capai satu perjanjian. Mari kita mulakan perdagangan'," kata Trump.
Ucapannya itu disambut dengan tepukan oleh para hadirin termasuk Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman.
Beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Iran, dilaporkan menghubungi pemimpin India dan Pakistan bagi menggesa mereka mengekang ketegangan sebelum kedua-dua negara bersenjata nuklear itu berbalas pelancaran ratusan peluru berpandu dan dron antara 7 hingga 10 Mei.
Naib Presiden AS, J.D Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio turut memainkan peranan dalam mendorong kedua-dua negara menyetujui gencatan senjata pada 10 Mei.
"Jangan berdagang peluru berpandu nuklear. Berdaganglah hasil buatan kalian yang sangat indah. Kedua-duanya mempunyai pemimpin yang berkuasa, kuat, baik dan bijak. Dan semuanya berhenti. Mudah-mudahan ia kekal begitu, tetapi buat masa ini, ia sudah berakhir," kata Trump pada forum berkenaan.
-- BERNAMA
#Donald Trump #gencatan senjata #konflik Pakistan-India #tekanan perdagangan