INTERNATIONAL
Trump desak Putin 'hentikan serangan' dan tandatangan perjanjian
Donald Trump pada Ahad terus menyuarakan kekecewaannya terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin susulan serangan peluru berpandu ke atas Kyiv. - Gambar fail
WASHINGTON: Donald Trump pada Ahad terus menyuarakan kekecewaannya terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin susulan serangan peluru berpandu ke atas Kyiv.
Dalam masa sama Presiden AS itu menyatakan beliau tidak pasti sama ada Putin benar-benar serius untuk menamatkan perang.
“Saya rasa pertemuan berjalan dengan baik. Kita akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari lagi.
“Kita mungkin akan belajar banyak perkara. Saya amat kecewa apabila peluru berpandu dilancarkan oleh Rusia,” kata Trump ketika berlepas dari New Jersey.
Trump menegaskan, Putin perlu menunjukkan komitmen untuk menamatkan konflik tersebut.
“Saya mahu beliau hentikan tembakan, duduk berbincang dan tandatangani perjanjian,” katanya.
“Saya percaya kita sudah ada rangka asas perjanjian itu dan saya mahu beliau tandatangan serta tamatkan semuanya dan kembali kepada kehidupan biasa.” - Agensi