Skip to main content

Dunia

Trump dijangka lawat Arab Saudi, Qatar, UAE dalam masa terdekat

41743418002_USPresidentTrump.jpg
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau berkemungkinan akan mengunjungi Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat.

“Ia mungkin bulan depan, atau sedikit lewat,” kata Trump di Pejabat Oval pada Isnin.

“Kami juga akan ke Qatar dan mungkin beberapa negara lain. UAE sangat penting.”

Beliau menambah “kemungkinan akan singgah di UAE dan Qatar, serta Arab Saudi. Ketiga-tiga negara ini menjadi keutamaan di Asia Barat.”

Menurut laporan CNN, White House sedang mempertimbangkan lawatan Trump ke Arab Saudi, namun masih belum ada rancangan rasmi yang disahkan.

Trump turut mengimbas kembali lawatannya sebelum ini ke Arab Saudi, yang menurutnya “diletakkan sebagai destinasi pertama kerana mereka bersetuju untuk membeli barangan Amerika bernilai $450 bilion, termasuk peralatan ketenteraan.”

“Saya bersetuju untuk melakukannya sekali lagi, dan mereka telah bersetuju untuk membelanjakan hampir satu trilion dolar kepada syarikat Amerika, yang bagi saya, bermaksud peluang pekerjaan,” tambah Presiden AS itu. - Agensi



Advertisement

Must Watch Video