DUNIA
Trump dijangka luluskan perjanjian benarkan TikTok terus beroperasi di AS - White House

Undang-undang yang disahkan Mahkamah Agung melarang sebarang hubungan operasi antara TikTok dan ByteDance, namun memberi kuasa terakhir kepada presiden untuk menentukan apa yang dikategorikan sebagai penyahlaburan sebenar. - Gambar hiasan/REUTERS
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka menandatangani satu perjanjian pada Khamis yang membolehkan TikTok terus beroperasi di AS dengan syarat keselamatan baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik seorang pegawai kanan Rumah Putih.
Pegawai itu memberitahu CBS News pada Rabu bahawa perjanjian itu, yang digambarkan pentadbiran sebagai "penyahlaburan bersyarat," akan memenuhi undang-undang dwipartisan yang menghendaki syarikat induk TikTok dari China, ByteDance, memutuskan hubungan atau berdepan larangan di seluruh negara.
Menurut pegawai itu, perjanjian berkenaan akan memberi pelabur Amerika termasuk Oracle pegangan dalam syarikat terbabit, manakala Oracle akan menyediakan "keselamatan menyeluruh" dengan menempatkan data pengguna AS serta menyemak kod aplikasi untuk memastikan "algoritma berfungsi dengan betul dan selamat."
Di bawah rancangan itu, algoritma cadangan berkuasa ByteDance akan disalin dan dilatih semula untuk beroperasi sepenuhnya dengan data Amerika."Kami yakin 100 peratus bahawa cadangan ini, jika dimuktamadkan, mematuhi undang-undang," kata pegawai itu sambil menambah ia menepati "semua undang-undang dan dasar berkaitan di kedua-dua pihak."
Namun, tidak semua penggubal undang-undang bersetuju.
Ahli Kongres John Moolenaar, Pengerusi Jawatankuasa China Dewan Perwakilan, memberi amaran bahawa "perjanjian pelesenan yang dilaporkan itu mungkin melibatkan kebergantungan berterusan TikTok baharu terhadap algoritma dan aplikasi ByteDance yang boleh membolehkan kawalan atau pengaruh berterusan Parti Komunis China (CCP)."
Undang-undang yang disahkan Mahkamah Agung melarang sebarang hubungan operasi antara TikTok milik AS dengan ByteDance, namun memberi kuasa terakhir kepada presiden untuk menentukan apa yang dikategorikan sebagai penyahlaburan sebenar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami