Skip to main content
Advertisement

Dunia

Trump gesa Putin, Zelenskyy capai persetujuan tamatkan 'perang tidak masuk akal'

Presiden Trump (kiri) menggesa Presiden Putin (tengah) dan Presiden Zelenskyy mencapai persetujuan bagi menamatkan perang di Ukraine. - Gambar Reuters
Presiden Trump (kiri) menggesa Presiden Putin (tengah) dan Presiden Zelenskyy mencapai persetujuan bagi menamatkan perang di Ukraine. - Gambar Reuters

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mencapai persetujuan bagi menamatkan perang di Ukraine, lapor Anadolu Ajansi.

"Apa yang saya tahu, Zelenskyy dan Putin perlu duduk bersama dan menamatkan perang yang tidak masuk akal itu.

"Bulan ini sahaja, mereka kehilangan 32,000 nyawa dalam perang itu dan keadaan ini tidak masuk akal. Jadi, mereka perlu duduk bersama dan menyelesaikannya," kata Trump kepada pemberita pada Isnin ketika meninggalkan White House untuk ke Ohio.

Pada Ahad, Trump mengumumkan bahawa Rusia dan Ukraine telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta melibatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga masing-masing.

Ketika ditanya mengenai sokongan Zelenskyy terhadap "gencatan senjata tenaga" serta dakwaan bahawa Putin belum bersetuju dengan cadangan itu, Trump berkata, beliau percaya kedua-dua pemimpin menyokong langkah berkenaan.

"Saya rasa kedua-dua mereka menyokongnya. Saya fikir mereka mahu mencapai persetujuan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Namun, kami akan memastikan mereka mencapai persetujuan," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Trump bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata dipersoalkan seorang wartawan yang membangkitkan percanggahan dengan pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh Rusia dan Ukraine.

Ketika diminta menjelaskan percanggahan itu, Trump tetap menegaskan bahawa persetujuan telah dicapai.

“Mereka bersetuju kerana saya kata mereka bersetuju dan perkara ini mesti diselesaikan," kata beliau.

Trump turut memberikan pandangannya mengenai kesediaan kedua-dua pemimpin untuk berunding, dengan menyatakan bahawa beliau percaya Putin lebih berminat mencapai persetujuan berbanding Zelenskyy.

"Sebenarnya, saya fikir Putin lebih mahu mencapai persetujuan berbanding Zelenskyy," katanya.

Secara berasingan, ketika berucap pada satu perhimpunan di Ohio lewat Isnin, Trump berkata, Rusia dan Ukraine mahu "mencapai persetujuan."

"Permusuhan antara kedua-dua pemimpin itu amat ketara. Namun, kami akan memastikan persetujuan itu dicapai.

"Saya pada mulanya menyangka perkara ini antara yang paling mudah untuk diselesaikan, tetapi ternyata tidak kerana permusuhan antara kedua-dua pemimpin begitu mendalam dan memuncak, sekali gus menjadikannya agak sukar," kata Trump.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement