Skip to main content

Dunia

Trump gesa Zelenskyy ‘buat perjanjian’ dengan Rusia

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat, pada 22 September 2026. - Gambar fail AP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat, pada 22 September 2026. - Gambar fail AP

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy supaya mencapai perjanjian dengan Rusia, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pemimpin itu ketika perang yang dilancarkan Moscow hampir empat tahun lalu terus berlarutan.

Trump turut mendedahkan beliau telah meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya membebaskan Stephen Hubbard, seorang warga AS yang ditahan tentera Moscow di Ukraine beberapa tahun lalu.

“Kami mahu Zelenskyy mencapai satu perjanjian. Dia boleh melakukannya. Dia sebenarnya boleh mencapai perjanjian dua tahun lalu ketika kami mengadakan perbincangan di Pejabat Oval,” kata Trump kepada pemberita.

Trump, Naib Presiden AS, JD Vance dan Zelenskyy sebelum ini terbabit dalam pertikaman lidah yang tegang dan disiarkan secara langsung dari Pejabat Oval pada Februari 2025, tidak lama selepas Trump kembali menerajui White House.

“Dia perlu mempunyai kemahuan untuk mencapai perjanjian kerana saya tidak fikir rakyatnya sanggup meneruskannya lebih lama lagi,” kata Trump pada Selasa.

Hubungan antara Kyiv dan Washington semakin tegang selepas Trump melonggarkan sebahagian sekatan bagi membolehkan perjanjian bekalan diesel dengan Putin, selain menuduh Zelenskyy sebagai pihak yang mengapi-apikan perang susulan serangan Ukraine ke atas loji penapisan minyak Rusia.

Zelenskyy pada Selasa bertemu utusan Trump, Steve Witkoff, di Oslo bagi mengadakan rundingan yang bertujuan meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Pemimpin Ukraine itu menyambut baik penyambungan semula perkongsian risikan AS berhubung kemungkinan serangan Rusia.

Bagaimanapun, selepas pertemuan dengan utusan AS, Zelenskyy menegaskan Kyiv mesti dilibatkan dalam sebarang rundingan pada masa depan yang membabitkan nasib Ukraine.

Ukraine semakin bimbang dengan pendirian Trump yang dilihat kembali menyalahkan Kyiv atas kegagalan menamatkan perang yang tercetus susulan pencerobohan Rusia pada Februari 2022, selain pendekatan lebih mesranya terhadap Putin.

Dalam perkembangan berasingan, Trump memberi bayangan bahawa rundingan dengan Rusia bagi membebaskan Hubbard mungkin semakin hampir membuahkan hasil.

“Saya sudah bercakap dengan Presiden Putin mengenai Hubbard. Saya sudah berbincang panjang dengannya. Saya memintanya supaya membebaskan Hubbard. Kita lihat apa yang berlaku,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan.

Trump kemudian memberi bayangan bahawa perkembangan mengenai perkara itu mungkin diketahui dalam masa terdekat.

“Teruskan bersama saya. Ingat soalan itu beberapa hari lagi kerana saya melakukan perkara yang tidak mampu dilakukan orang lain,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement