WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menghadiri upacara pemindahan mayat enam anggota Tentera Simpanan AS yang terkorban dalam serangan dron di Kuwait minggu lalu.
Upacara penuh penghormatan itu berlangsung di Dover Air Force Base pada Sabtu, disaksikan keluarga mangsa serta pegawai tertinggi tentera.
Advertisement
Trump, bersama Wanita Pertama Melania Trump dan Naib Presiden JD Vance, berdiri memberi tabik hormat ketika keranda dibawa turun dari pesawat pengangkut tentera C-17 di landasan pangkalan itu.
Tentera AS mengenal pasti enam anggota yang terkorban dalam serangan dron Iran di Kuwait pada 1 Mac sebagai Mejar Jeffrey O'Brien, Ketua Pegawai Waran Robert Marzan, Kapten Cody Khork, Sarjan Kelas Pertama Nicole Amor, Sarjan Kelas Pertama Noah Tietjens dan Sarjan Declan Coady.
Marzan dipercayai turut terkorban dalam serangan itu, namun identiti mayatnya masih menunggu pengesahan rasmi pemeriksa perubatan.
Kesemua mereka berkhidmat dengan Komando Sokongan ke-103, sebuah unit Tentera Simpanan yang berpangkalan di Iowa.
“Ia hari yang sangat menyedihkan,” kata Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One selepas upacara berkenaan, sambil menyatakan keluarga mangsa amat berbangga dengan khidmat mereka kepada negara.
Trump turut memberi bayangan kemungkinan lebih ramai anggota tentera AS terkorban dalam konflik dengan Iran.
“Saya pasti akan ada lagi. Saya tidak suka, tetapi itulah hakikat perang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Trump turut menyalahkan Iran atas serangan ke atas sebuah sekolah rendah di selatan Iran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 168 kanak-kanak dan 14 guru, walaupun beberapa penganalisis sebelum ini menyatakan kemungkinan serangan itu dilakukan oleh tentera AS.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, turut menyalahkan Iran, dengan mendakwa hanya negara itu yang menyasarkan orang awam.
Bagaimanapun, White House sebelum ini tidak menolak kemungkinan serangan tersebut dilakukan oleh anggota tentera AS.