[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Trump hubungi Bezos selepas laporan Amazon mahu kongsi kesan kenaikan tarif Amerika

Agensi 29/04/2025 | 22:30 MYT
Presiden Trump (kiri) telah menghubungi pengasas Amazon, Jeff Bezos selepas laporan mendakwa syarikat gergasi e-dagang itu bercadang memaparkan kesan kenaikan tarif perdagangan kepada pengguna.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menghubungi pengasas Amazon, Jeff Bezos selepas laporan mendakwa syarikat gergasi e-dagang itu bercadang memaparkan kesan kenaikan tarif perdagangan kepada pengguna.
Amazon menjelaskan, mereka telah mempertimbangkan cadangan untuk menyenaraikan impak kos tarif kepada pelanggan di platform Amazon Haul - laman jualan kos rendah yang dilancarkan di AS tahun lalu bagi menyaingi Shein dan Temu.
Namun, syarikat itu memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut, malah menyatakan ia tidak pernah dipertimbangkan untuk platform utamanya.
Tindakan pihak White House untuk segera bertindak terhadap laporan itu mencerminkan tekanan yang sedang dihadapi pentadbiran Trump susulan pelaksanaan cukai import baharu - langkah yang menurut penganalisis berisiko menaikkan harga barang pengguna dan boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi.
Dalam sidang media sempena 100 hari pertama pentadbiran Trump pada Selasa, Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt berkata, beliau telah berbincang dengan Presiden mengenai langkah Amazon itu dan menyifatkannya sebagai “satu lagi sebab kenapa rakyat Amerika perlu membeli barangan buatan tempatan.”
“Tindakan Amazon ini bersifat bermusuhan dan bermotif politik,” katanya.
“Mengapa Amazon tidak lakukan perkara yang sama ketika pentadbiran (Joe) Biden menyebabkan inflasi tertinggi dalam 40 tahun?”
Sejak kembali ke pejabat Presiden pada Januari lalu, Trump telah mempertingkatkan tarif import dengan alasan ia akan merangsang sektor pembuatan tempatan dan meningkatkan hasil cukai negara.
Walaupun sebahagian cadangan awalnya telah ditarik balik bulan ini, kebanyakan barangan import kini dikenakan duti sekurang-kurangnya 10 peratus, manakala produk dari China dikenakan cukai masuk melebihi 145 peratus.
Langkah itu telah menyebabkan perdagangan antara kedua-dua negara merosot ketara, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan serta kekurangan produk seperti kereta sorong bayi dan payung - barangan yang kebanyakannya dibekalkan dari China.
Beberapa perniagaan termasuk Shein dan Temu telah mula memaklumkan kepada pelanggan mengenai kenaikan harga akibat tarif baharu itu.
Kedua-dua platform dikenali dengan model perniagaan yang menghantar terus barangan dari kilang di China kepada pengguna.
Penganalisis menyatakan hampir separuh daripada penjual di Amazon AS merupakan peniaga dari China.
Cadangan Amazon untuk memaparkan kos tarif kepada pelanggan pertama kali dilaporkan oleh Punchbowl News pada Selasa, memetik sumber tanpa nama.
Diminta mengulas perkara itu, jurucakap Amazon, Tim Doyle mengesahkan syarikat itu pernah mempertimbangkan untuk menyenaraikan cukai import ke atas produk tertentu di platform Amazon Haul.
“Cadangan itu tidak pernah diluluskan dan tidak akan diteruskan,” katanya dalam kenyataan kepada BBC.
Sumber yang dekat dengan perbincangan dalaman Amazon berkata, idea itu tercetus selepas pengecualian cukai untuk penghantaran dari China bernilai bawah AS$800 ditamatkan.
Namun, menurutnya, keputusan untuk tidak memaparkan kos tambahan tersebut tidak berkait dengan aduan daripada pihak White House.
Apabila ditanya wartawan mengenai panggilan telefonnya dengan Bezos, Trump berkata bilionair itu telah “menyelesaikan masalah dengan baik.”
“Jeff Bezos sangat baik. Beliau menyelesaikannya dengan cepat dan tepat. Dia buat perkara yang betul. Dia orang yang baik,” kata Trump.
Amazon antara syarikat yang menyumbang dana kepada majlis angkat sumpah Presiden Trump dan Bezos diberi tempat istimewa dalam acara tersebut.
Bezos, yang juga pemilik akhbar Washington Post, pernah memuji usaha Trump dalam mengurangkan birokrasi dan cukai selepas pilihan raya.
Namun, hubungan antara kedua-dua tokoh ini pernah tegang.
Trump sering mengkritik Amazon dan Washington Post sepanjang penggal pertamanya, manakala Bezos pada 2016 pernah menuduh retorik Trump sebagai ancaman kepada demokrasi dan secara berseloroh mencadangkan agar beliau dihantar ke angkasa.
Pada 2019, Amazon telah memfailkan saman terhadap Jabatan Pertahanan AS, mendakwa kontrak bernilai AS$10 bilion telah dinafikan kepada syarikat itu kerana campur tangan politik Trump terhadap Bezos, yang dianggap sebagai musuh politiknya. - Agensi
#Donald Trump #Jeff Bezos #Amazon #tarif Trump