[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Trump ikrar hidupkan semula industri arang batu AS yang menyusut

Bernama 18/03/2025 | 09:01 MYT
Sebuah loji jana kuasa yang menggunakan bahan api arang batu di Petersburg, Indiana. - AP
MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjanji untuk menghidupkan semula industri arang batu di negara itu bagi meningkatkan daya saing dengan China, yang banyak bergantung kepada arang batu dalam penjanaan tenaga, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Selepas bertahun-tahun dikawal oleh Pelampau Alam Sekitar, Individu yang tidak Waras, Radikal dan Samseng, yang membolehkan negara lain, khususnya China, memperoleh kelebihan ekonomi yang besar berbanding kita dengan membuka ratusan loji jana kuasa arang batu, saya mengarahkan Pentadbiran saya untuk segera mula menghasilkan tenaga dengan ARANG BATU YANG BERSIH," kata Trump di Truth Social.
Menurut badan pemikir berpangkalan di UK, Ember Energy, tenaga angin dan solar menjana lebih banyak elektrik (17 peratus) berbanding arang batu (15 peratus) di Amerika Syarikat tahun lalu buat pertama kali dalam sejarah.
Namun, menurut kajian terkini oleh Rhodium Group yang berpangkalan di AS, pelepasan gas rumah hijau di negara itu hanya menurun sebanyak 0.2 peratus pada 2024, walaupun pengeluaran tenaga arang batu di AS jatuh ke paras terendah dalam hampir 60 tahun.
-- BERNAMA
#Donald Trump #industri arang batu #Amerika Syarikat #persaingan #China