Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Taiwan agar tidak mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi daripada China, beberapa jam selepas mengadakan sidang kemuncak bersama Presiden China, Xi Jinping di Beijing.
Dalam temu bual bersama Fox News pada Jumaat, Trump menegaskan. beliau tidak menyokong sebarang langkah ke arah kemerdekaan Taiwan.
“Saya tidak mahu melihat mana-mana pihak mengisytiharkan kemerdekaan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan dua hari beliau bersama Xi (Jinping), yang menyentuh pelbagai isu termasuk status Taiwan.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te sebelum ini menyatakan bahawa pulau itu tidak perlu mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi kerana melihat dirinya sebagai sebuah negara berdaulat.
Amerika Syarikat sejak sekian lama menyokong Taiwan, termasuk terikat dengan undang-undang untuk membantu keupayaan pertahanan pulau itu.
Namun, Washington pada masa sama perlu memastikan keseimbangan hubungan tersebut dengan hubungan diplomatiknya bersama Beijing.
Trump sebelum ini turut menyatakan bahawa beliau “tidak membuat sebarang komitmen” berhubung masa depan Taiwan - sebuah wilayah yang dituntut China sebagai sebahagian daripada kedaulatannya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alihnya.
Pendekatan rasmi Washington kekal tidak menyokong kemerdekaan Taiwan, dengan hubungan berterusan dengan Beijing bergantung kepada penerimaan prinsip bahawa hanya terdapat satu kerajaan China.
Dalam masa sama, Beijing secara terbuka mengkritik kepimpinan Lai yang sebelum ini dilabel sebagai “pencetus masalah” dan “perosak keamanan rentas Selat.”
Walaupun ramai rakyat Taiwan melihat diri mereka sebagai entiti berasingan, majoriti dilaporkan menyokong status quo - iaitu tidak mengisytiharkan kemerdekaan dan tidak menyertai China.
Dalam temu bual yang sama, Trump menegaskan dasar AS terhadap Taiwan tidak berubah.
“Kita tidak mahu berperang. Saya mahu keadaan reda. Saya mahu China juga bertenang,” katanya.
Ketika dalam penerbangan pulang ke Washington, Trump memberitahu wartawan, beliau dan Jinping banyak berbincang mengenai isu Taiwan, namun enggan mengulas sama ada AS akan mempertahankan pulau berkenaan.
Menurutnya, Presiden Jinping mempunyai pendirian tegas terhadap Taiwan dan tidak mahu melihat sebarang usaha ke arah kemerdekaan.
Media kerajaan China melaporkan Jinping memberi amaran bahawa isu Taiwan adalah perkara paling penting dalam hubungan China-AS, dan jika salah dikendalikan, ia boleh membawa kepada konflik antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, Trump menyatakan beliau tidak menjangkakan sebarang konflik dengan China berhubung isu tersebut.
China dalam beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan, sekali gus menambah ketegangan di rantau berkenaan.
Pada akhir tahun lalu, pentadbiran Trump mengumumkan pakej penjualan senjata bernilai AS$11 bilion kepada Taiwan, termasuk pelancar roket canggih dan pelbagai jenis peluru berpandu - yang mendapat bantahan keras Beijing.
Trump berkata keputusan sama ada penjualan itu akan diteruskan akan dibuat dalam masa terdekat, selepas isu berkenaan dibincangkan secara terperinci dengan Xi.
Beliau turut membayangkan kemungkinan untuk berhubung dengan kepimpinan Taiwan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh presiden AS kerana berpotensi mencetuskan ketegangan dengan Beijing.
Amerika Syarikat tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, meskipun mengekalkan hubungan tidak rasmi yang kukuh.
Trump menegaskan, Washington tidak mahu konflik tercetus akibat sokongan terhadap kemerdekaan Taiwan.
“Kita tidak mahu perang. Jika keadaan dikekalkan seperti sekarang, saya fikir China boleh menerimanya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Taiwan, Lin Chia-lung memaklumkan, pihaknya memantau rapat sidang kemuncak berkenaan serta mengekalkan komunikasi dengan AS dan negara lain bagi memastikan hubungan Taiwan-AS terus kukuh dan kepentingan negara itu terpelihara.
Beliau turut menegaskan, Taiwan kekal sebagai “penjamin keamanan dan kestabilan” di rantau itu, sambil menuduh China meningkatkan risiko melalui tindakan ketenteraan agresif dan pendekatan autoritarian. - Agensi