DUNIA

Trump jangka capai perjanjian dagang ‘baik’ dengan Xi di sidang kemuncak Korea Selatan

Agensi 21/10/2025 | 22:45 MYT
Presiden Trump menjangkakan akan mencapai satu perjanjian perdagangan “yang baik” dengan Presiden Jinping, pada sidang kemuncak serantau minggu hadapan di Korea Selatan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjangkakan akan mencapai satu perjanjian perdagangan “yang baik” dengan Presiden China, Xi Jinping, pada sidang kemuncak serantau minggu hadapan di Korea Selatan - namun tidak menolak kemungkinan pertemuan itu dibatalkan pada saat akhir.

Trump berkata demikian ketika menghadiri majlis makan tengah hari bersama senator Parti Republikan di White House, di sini, pada Selasa (21 Okt).

“Kita akan dapatkan perjanjian yang adil dan saya fikir pertemuan itu akan berlangsung dengan baik. Ramai yang menantikan hasilnya,” kata Trump.

Namun beliau kemudian menambah dengan nada berhati-hati: “Mungkin ia tidak akan berlaku. Kadang-kadang sesuatu boleh terjadi - mungkin seseorang akan berkata, ‘Saya tak mahu berjumpa. Suasana terlalu tegang.’ Tapi sebenarnya, ia tidaklah seteruk itu.”

Ketidaktentuan pertemuan dengan Xi

Trump sebelum ini mengumumkan pada 19 September bahawa beliau akan bertemu Xi di Korea Selatan dan dijadual berkunjung ke China awal tahun depan.

Jika diteruskan, ia akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Trump kembali ke White House.

Namun, pada 10 Oktober lalu, beliau mengancam untuk membatalkan pertemuan itu dan mengenakan tarif besar-besaran terhadap China selepas Beijing mengenakan sekatan eksport terhadap mineral nadir bumi - sebelum akhirnya menarik balik kenyataan tersebut.

Dalam nada lebih positif, Trump pada Isnin (20 Okt) berkata pertemuan dengan Xi akan diteruskan dan lawatannya ke China “pada awal tahun depan” kini “hampir pasti ditetapkan.”

Trump juga ubah pendirian terhadap Putin

Xi bukan satu-satunya pemimpin yang menerima pendirian berubah-ubah daripada Trump kebelakangan ini.

Minggu lalu, beliau berkata akan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Budapest dalam tempoh dua minggu bagi membincangkan perang di Ukraine.

Namun, White House pada Selasa menjelaskan, “tiada rancangan untuk pertemuan dalam masa terdekat.” - Agensi






#Donald Trump #Xi Jinping #perjanjian perdagangan #Amerika Syarikat-China