DUNIA
Trump janji tidak akan benarkan Israel ilhak Tebing Barat

Gambar fail menunjukkan Presiden Trump (kiri) menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke White House, Washington, Amerika Syarikat pada 7 April 2025. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan, beliau tidak akan membenarkan Israel melaksanakan rancangan untuk mengilhak Tebing Barat, sekali gus menolak desakan ahli politik sayap kanan Israel yang mahu meluaskan kedaulatan negara itu ke atas wilayah berkenaan.
Kata Trump, langkah itu hanya akan memadamkan harapan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
“Saya tidak akan benarkan Israel ilhak Tebing Barat. Tidak, saya tidak akan benarkan. Ia tidak akan berlaku. Cukuplah. Masa untuk hentikan sekarang,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, White House, di sini, pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di New York bagi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.Setakat ini, pejabat Netanyahu belum memberi sebarang respons terhadap kenyataan Trump.
Israel melakukan ilhak atau merampas Tebing Barat dalam perang tahun 1967 dan sejak itu penempatan Yahudi di wilayah berkenaan semakin berkembang dengan rangkaian jalan serta infrastruktur lain yang terus menghakis tanah yang dituntut Palestin.
Pada Ogos lalu, projek penempatan E1 yang dikecam masyarakat antarabangsa menerima kelulusan akhir.
Projek itu bakal membelah Tebing Barat yang diduduki, sekali gus memutuskan hubungan wilayah itu dengan Baitulmaqdis Timur - kawasan yang turut dituntut Palestin sebagai ibu negara mereka.
Trump sebelum itu bertemu pemimpin dan pegawai dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia serta Pakistan di New York pada Selasa bagi membincangkan perang hampir dua tahun di Gaza antara Israel dan Hamas.
Dalam pertemuan itu, negara-negara Arab dan Islam memberi amaran keras mengenai akibat buruk jika Israel meneruskan rancangan ilhak, satu mesej yang menurut Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud, “difahami dengan jelas” oleh Trump.
Difahamkan, kira-kira 700,000 peneroka Israel kini tinggal di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, di samping 2.7 juta penduduk Palestin.
Namun, langkah Israel menguasai sepenuhnya wilayah itu tidak pernah diiktiraf kebanyakan negara.
Israel pula bertegas enggan melepaskan kawalan ke atas Tebing Barat, malah menganggap pendiriannya semakin kukuh selepas serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami