Trump jemput Netanyahu ke White House dalam masa terdekat

Presiden Trump (kiri) menjemput Perdana Menteri Netanyahu ke White House buat kali kelima. Kali terakhir Netanyahu ke White House ialah pada 29 September lalu. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjemput Benjamin Netanyahu, ke White House dalam masa terdekat, menurut pejabat Perdana Menteri Israel itu pada Isnin.
Lawatan itu bakal menjadi kunjungan kelima Netanyahu ke White House sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari lalu.
Kedua-dua pemimpin sebelum ini sering menonjolkan hubungan rapat, meskipun sumber AS dan Israel mendedahkan Trump kadangkala meluahkan rasa kecewa terhadap Netanyahu.
Dalam perbualan telefon, kedua-dua pemimpin dilaporkan membincangkan usaha melucutkan senjata Hamas dan menamatkan angkatan ketenteraan Israel di Gaza.
Trump sebelum ini mengumumkan pelan menamatkan perang Gaza pada September, dengan gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak Oktober.
Dalam kenyataan berasingan, Trump menegaskan kepentingan Israel mengekalkan “dialog yang kukuh dan tulen” dengan Syria, sambil menambah bahawa tiada perkara harus mengganggu usaha Syria menjadi sebuah negara makmur.
“Syria dan Israel akan mempunyai hubungan yang panjang dan sejahtera,” kata Trump, yang kini berusaha memeterai pakatan tidak menyerang antara kedua-dua negara.
Syria masih tidak mengiktiraf Israel, yang menguasai lebih banyak wilayah Syria sejak Disember 2024.
Israel telah menduduki Dataran Tinggi Golan sejak 1967 sebelum mengisytiharkan penggabungan wilayah itu – langkah yang hanya diiktiraf Amerika Syarikat tetapi ditolak kebanyakan negara lain.
Trump turut menyokong pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, manakala Israel menyuarakan kebimbangan berhubung kaitan beliau dengan pasukan pejuang Islam sebelum ini dan melobi Washington agar Syria kekal lemah.
Serangan udara Israel di selatan Syria pada Jumaat mengorbankan 13 rakyat Syria, menurut media kerajaan negara itu.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan kumpulan pejuang dari Lubnan itu.
Panggilan telefon dengan Trump berlaku sehari selepas Netanyahu memohon pengampunan daripada Presiden Israel berhubung perbicaraan rasuah yang berlarutan.
Trump sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pengampunan itu dan menghantar surat bulan lalu kepada Presiden Isaac Herzog agar mempertimbangkannya.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi pejabat Netanyahu tidak menyebut mengenai permohonan pengampunan tersebut.
Pemimpin pembangkang Israel menentang langkah itu dan mendesak Netanyahu meletak jawatan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



