DUNIA

Trump kata aspirin punca lebam di tangan, nafi kecederaan

Bernama 23/01/2026 | 12:59 MYT
Trump berkata bahawa pengambilan aspirin setiap hari menjadikannya lebih mudah mengalami lebam. - Reuters
ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Khamis bahawa kesan lebam yang kelihatan pada tangan kirinya berpunca daripada kesan pencairan darah akibat pengambilan aspirin, dan bukannya disebabkan sebarang kecederaan serius, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One selepas kepulangannya dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Trump berkata beliau telah "terlanggar meja", yang menyebabkan lebam berkenaan.

Beliau menambah bahawa pengambilan aspirin setiap hari menjadikannya lebih mudah mengalami lebam.

"Mereka kata ambil aspirin jika anda sayangkan jantung anda, tetapi jangan ambil aspirin jika anda tidak mahu mengalami sedikit lebam. Saya ambil aspirin dos besar," katanya.

Trump berkata doktornya menasihatkan supaya tidak mengambil dos yang lebih tinggi, namun beliau tetap bertegas.

"Doktor berkata: 'Anda tidak perlu mengambilnya, tuan. Anda sangat sihat.' Saya berkata: 'Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko,'" tambahnya.

Setiausaha akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt mengesahkan kejadian itu, dengan menyatakan bahawa Trump terhantuk tangannya pada bucu meja ketika pengumuman Lembaga Keamanan.

Trump, yang berusia 79 tahun, sebelum ini memberitahu The Wall Street Journal awal bulan ini bahawa beliau mengambil lebih banyak aspirin daripada yang disyorkan oleh doktornya kerana mahukan "darah yang elok dan cair mengalir melalui jantung saya."

Leavitt sebelum ini pada musim panas lalu berkata lebam di tangan itu juga berpunca daripada aktiviti berjabat tangan yang kerap.

Trump merupakan presiden kedua tertua dalam sejarah AS, selepas Joe Biden, yang berundur pada usia 82 tahun.

-- BERNAMA

#Donald Trump #lebam di tangan #aspirin #rawatan #trump nafi cedera