DUNIA
Trump kata kadar jenayah sebenar di Washington, DC, 5-10 kali lebih tinggi

Presiden AS Donald Trump berkata kadar jenayah sebenar di Washington, DC, adalah lima hingga 10 kali lebih tinggi daripada yang dilaporkan dalam statistik rasmi, dan berikrar untuk menjadikan bandar itu selamat semula. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata kadar jenayah sebenar di Washington, DC, adalah lima hingga 10 kali lebih tinggi daripada yang dilaporkan dalam statistik rasmi, dan berikrar untuk menjadikan bandar itu selamat semula, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Washington, DC, mencatatkan antara kadar jenayah tertinggi di dunia, melebihi banyak negara dunia ketiga yang paling ganas. Kadar pembunuhan di bandar ini lebih tinggi daripada tempat yang terkenal dengan keganasannya seperti Mexico City, Bogota, Islamabad dan Addis Ababa - hampir 10 kali ganda lebih tinggi berbanding Fallujah, Iraq.
"Jika DC adalah sebuah negeri, ia akan mempunyai kadar pembunuhan tertinggi berbanding mana-mana negeri di Amerika. Kadar jenayah ganas di DC semakin teruk, dan kadar pembunuhan pada asasnya telah berganda dalam tempoh sedikit lebih sedekad - tetapi ini hanyalah statistik 'rasmi' yang dikeluarkan oleh pegawai bandar yang korup. Angka sebenar adalah berkali ganda lebih buruk," tulis Trump di Truth Social.
"Kadar jenayah sebenar mungkin lima hingga 10 kali ganda daripada yang dilaporkan. DC telah dikepung oleh penjenayah dan pembunuh, tetapi kini DC kembali di bawah kawalan persekutuan seperti sepatutnya. Rumah Putih kini memegang kuasa. Tentera dan pasukan polis kita yang hebat akan membebaskan bandar ini, membersihkan kekotoran, serta menjadikannya selamat, bersih, boleh didiami dan indah sekali lagi!" tambahnya.Pada Isnin, Trump mengumumkan beberapa langkah pihak berkuasa persekutuan bagi membanteras jenayah di Washington.
Melalui perintah eksekutif, presiden AS itu meletakkan pasukan polis Washington di bawah kawalan langsung kerajaan persekutuan.
Selain itu, Trump menghantar Pengawal Kebangsaan AS ke Washington, DC, dan mengancam untuk menghantar angkatan tentera ke ibu negara jika perlu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami