Trump kritik kemenangan Mamdani, dakwa Demokrat bawa fahaman komunis ke New York

Trump beri amaran bahawa bandar seperti Miami akan menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada “komunisme” di New York. - Gambar Reuters
MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump buat pertama kali mengulas secara terbuka mengenai kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York dengan menyifatkan keputusan itu sebagai cerminan kepada hala tuju politik Parti Demokrat yang semakin ekstrem.
Berucap di Forum Perniagaan Amerika di sini, Trump menyelar Mamdani yang merupakan seorang sosialis demokrat dan mendakwa beliau sebagai “komunis” yang dipilih untuk menerajui bandar terbesar di negara itu.
“Jika anda mahu tahu apa yang ahli Demokrat Kongres mahu lakukan terhadap Amerika, lihat sahaja keputusan pilihan raya semalam di New York - mereka telah melantik seorang komunis sebagai Datuk Bandar,” kata Trump kepada tetamu acara itu.
Trump turut menyindir kenyataan lamanya bahawa tiada sosialis akan dipilih ke mana-mana jawatan di Amerika, sambil menambah: “Kita bukan sahaja melangkaui sosialis, kita terus lantik komunis.”
Dalam masa sama, Trump beri amaran bahawa bandar seperti Miami akan menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada “komunisme” di New York.
Kenyataan itu hadir selepas Mamdani menewaskan calon Republikan, Curtis Sliwa dan bekas Gabenor Demokrat, Andrew Cuomo yang bertanding sebagai calon bebas dan mendapat sokongan Trump sehari sebelum hari pengundian.
Sebelum ini, Trump tidak menyebut secara langsung kemenangan Mamdani ketika berucap di White House, namun, nada beliau berubah di Miami.
“Keputusan malam tadi jelas menunjukkan pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Amerika — antara komunisme dan kewarasan,” katanya.
“Selagi saya berada di White House, Amerika tidak akan menjadi negara komunis dalam apa jua bentuk.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


