DUNIA

Trump label Presiden Colombia ‘ketua dadah haram’, umum henti semua bayaran kepada Bogota

Astro Awani 19/10/2025 | 21:45 MYT
Hubungan antara Bogota dan Washington dilaporkan semakin tegang sejak Trump kembali ke White House.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melabel Presiden Colombia, Gustavo Petro sebagai “ketua dadah haram” dan mengumumkan bahawa Washington akan menamatkan semua bentuk bayaran serta subsidi berskala besar kepada negara Amerika Selatan itu.

Dalam hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, pada Ahad (19 Okt), Trump mendakwa, kegiatan pengeluaran dadah di Colombia bertujuan menjual “jumlah besar produk” ke Amerika Syarikat yang menurutnya menyebabkan “kematian, kemusnahan dan kekacauan.”

Kedutaan Colombia di Washington setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan tersebut.

Hubungan antara Bogota dan Washington dilaporkan semakin tegang sejak Trump kembali ke White House.

Bulan lalu, Amerika Syarikat dilapor membatalkan visa Petro selepas beliau menyertai tunjuk perasaan pro-Palestin di New York dan menggesa tentera AS supaya tidak mematuhi arahan Trump.

Tahun lalu, Petro berikrar melaksanakan campur tangan sosial dan ketenteraan besar-besaran bagi mengawal kawasan penanaman coca di Colombia, namun strategi itu masih gagal menunjukkan hasil yang ketara.

Pada September, Trump menyenaraikan beberapa negara termasuk Afghanistan, Bolivia, Myanmar, Colombia dan Venezuela sebagai negara yang “gagal secara nyata” mematuhi perjanjian antarabangsa membanteras dadah.

Trump turut menuding jari kepada kepimpinan politik Colombia kerana gagal memenuhi tanggungjawab dalam usaha kawalan dadah.

“Petro ialah seorang ketua dadah haram yang aktif menggalakkan pengeluaran dadah secara besar-besaran,” katanya sambil menyifatkan pembayaran dan subsidi AS kepada Colombia sebagai “penipuan besar.

“BERKUAT KUASA HARI INI, SEMUA BAYARAN, SAMA ADA DALAM BENTUK TUNAI ATAU SUBSIDI, TIDAK LAGI DITERUSKAN,” tegas Trump dalam kenyataannya, tanpa memperincikan bentuk bayaran yang dimaksudkan. - Agensi



#Donald Trump #Gustavo Petro #ketua dadah haram #pengeluaran dadah Columbia