Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
INTERNATIONAL

Trump lantik hos Fox News, Jeanine Pirro sebagai pendakwa raya sementara di Washington

Agensi 09/05/2025 | 02:20 MYT
Pelantikan Pirro dijangka menambah lagi perdebatan mengenai usaha Trump memperkukuh kawalan ke atas institusi perundangan utama di ibu negara AS.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah melantik personaliti Fox News dan bekas pendakwa raya New York, Jeanine Pirro, sebagai pendakwa raya persekutuan sementara untuk Washington DC.

Pelantikan ini diumumkan menerusi platform Truth Social selepas pencalonan awal Trump ditolak susulan kehilangan sokongan penting daripada senator Republikan dalam Dewan Senat, yang perlu mengesahkan jawatan tersebut.

Trump memuji Pirro, 73, sebagai "pejuang yang kental untuk mangsa jenayah” dan menekankan pengalaman beliau sebagai bekas hakim dan pendakwa daerah Republikan di Westchester, New York.

“Beliau telah lama menjadi penyokong keadilan dan suara penting di kaca TV, termasuk menerusi rancangan Fox News yang sangat popular,” tulis Trump dalam pengumumannya.

Pirro bukanlah asing dalam dunia politik konservatif AS.

Beliau dikenali ramai kerana kenyataan-kenyataan lantang dan sokongan teguh terhadap Trump.

Selepas Pilihan Raya Presiden 2020, Pirro membuat dakwaan palsu berhubung penipuan pilihan raya — kenyataan yang menjadi sebahagian daripada saman besar terhadap Fox News oleh syarikat pembuat mesin undi, Dominion Voting Systems.

Kes itu diselesaikan dengan bayaran lebih AS$787 juta (RM3.7 bilion).

Trump sebelum ini turut memberi pengampunan kepada suami Pirro, yang pernah disabitkan kesalahan mengelak cukai.

Pirro menggantikan Ed Martin, bekas podcaster konservatif, yang sebelum ini dilantik secara sementara pada Januari.

Martin gagal meraih sokongan penting untuk pelantikan kekal, terutama selepas Senator Republikan Thom Tillis dari Carolina Utara menyuarakan bantahan.

Tillis berkata, beliau "tidak bertolak ansur dengan sesiapa yang menyokong pencerobohan bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.”

Martin diketahui menentang siasatan terhadap rusuhan tersebut dan sewaktu memegang jawatan, beliau telah memecat beberapa pendakwa yang terlibat dalam kes-kes perusuh.

Trump memaklumkan, Ed Martin akan kekal dalam Jabatan Kehakiman dan mengetuai kumpulan kerja yang menyiasat pegawai-pegawai yang menjalankan penyiasatan terhadap Trump.

Sejak kembali ke White House, Presiden Trump telah mengambil beberapa tindakan kontroversi termasuk memberi pengampunan dan menggugurkan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam rusuhan Capitol, satu tindakan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan pemerhati undang-undang dan masyarakat sivil.

Pelantikan Pirro dijangka menambah lagi perdebatan mengenai usaha Trump memperkukuh kawalan ke atas institusi perundangan utama di ibu negara AS. - Agensi


#Donald Trump #Jeanine Pirro #hos Fox News #pendakwa raya