DUNIA

Trump lantik Kevin Warsh terajui Rizab Persekutuan AS

Agensi 30/01/2026 | 22:50 MYT
Presiden Trump mengumumkan pelantikan Kevin Warsh (gambar) sebagai Pengerusi baharu Rizab Persekutuan AS bagi menggantikan Jerome Powell apabila tempoh empat tahun Powell tamat pada Mei depan. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelantikan Kevin Warsh sebagai Pengerusi baharu Rizab Persekutuan (Federal Reserve) bagi menggantikan Jerome Powell apabila tempoh empat tahun Powell tamat pada Mei depan.

Pelantikan itu dibuat ketika White House terus meningkatkan tekanan kepada Bank Pusat tersebut untuk menurunkan kadar faedah.

Warsh, bekas Gabenor Fed dari 2006 hingga 2011 merupakan antara nama yang pernah dipertimbangkan semasa penggal pertama Trump.

Beliau terkenal sebagai pengkritik lantang dasar Fed dan dijangka lebih menyokong penurunan kadar faedah dalam masa terdekat selari dengan gesaan Trump untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pelantikan Warsh berlaku dalam suasana tegang, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kebebasan Federal Reserve.

Trump sebelum ini kerap mengkritik Powell yang dianggap tidak cukup agresif dalam menurunkan kadar faedah.

Situasi bertambah rumit apabila Jabatan Kehakiman AS membuka siasatan jenayah berhubung keterangan Powell kepada Senat mengenai projek pengubahsuaian bangunan Fed - tindakan yang dikecam hebat oleh Powell dan menerima sokongan bekas-bekas Pengerusi Bank Pusat itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Warsh kembali muncul sebagai calon utama selepas spekulasi kuat mengenai pengganti Powell yang berdepan tekanan hebat.

Trump turut mengumumkan pencalonan itu melalui platform Truth Social sambil menyifatkan Warsh sebagai “antara Pengerusi Fed terhebat, mungkin yang terbaik.”

Walau bagaimanapun, pencalonan Warsh masih perlu mendapatkan kelulusan Senat dan proses itu dijangka mengambil masa panjang kerana sentimen politik dalaman.

Senator Thom Tillis misalnya, menyatakan beliau akan menentang semua calon Fed yang dicalonkan Trump selagi siasatan terhadap Powell belum diselesaikan.

Warsh yang berusia 55 tahun merupakan ahli ekonomi dan felo di Hoover Institution serta menduduki lembaga syarikat penghantaran UPS.

Beliau lantang mengkritik kebergantungan Fed terhadap data dan penggunaan aset dalam Bank Pusat.

Malah, retoriknya semakin tegas sejak namanya disebut-sebut sebagai calon, sehingga menuntut “pertukaran rejim” dalam pendekatan Bank Pusat.

Walaupun terkenal dengan ketegasan semasa di Fed dan lebih cenderung menyokong kadar faedah lebih tinggi - namun, kini dilihat lebih mesra kepada kadar faedah rendah.

Warsh berhujah bahawa Fed perlu mengecilkan saiz neraca untuk merendahkan kadar faedah jangka pendek, meskipun ada penganalisis mempersoalkan logik cadangan itu.

Fed minggu ini mengekalkan kadar faedah selepas tiga kali pemotongan tahun lalu.

Jika diluluskan Senat, Warsh akan mengambil alih Fed pada saat paling mencabar - ketika kebebasan Bank Pusat dipersoalkan, inflasi masih tinggi dan pasaran memantau setiap pergerakan dasar monetari.

Walaupun sehaluan dengan Trump dalam isu kadar faedah, Warsh juga mempunyai sejarah sebagai penjaga ketat terhadap inflasi.

Pelantikan ini bakal menjadi ujian sejauh mana beliau mampu mengimbangi tekanan politik dengan mandat Fed sebagai institusi bebas. - Agensi




#Kevin Warsh #Pengerusi Rizab Persekutuan AS #Jerome Powell #Donald Trump