Trump luaskan larangan perjalanan AS, termasuk Syria dan Palestin

Pentadbiran Trump mempertahankan keputusan itu sebagai langkah penting untuk melindungi keselamatan rakyat AS. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah menambah enam negara lagi ke dalam senarai larangan perjalanan ke AS, termasuk Palestin dan Syria, dalam langkah terbaharu yang dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan keras pentadbirannya terhadap imigresen.
White House mengumumkan peluasan larangan itu pada Selasa, menjadikan jumlah negara yang terjejas kini meningkat kepada 18.
Perintah baharu itu melibatkan enam negara, Palestin, Burkina Faso, Mali, Niger, Sudan Selatan dan Syria, sebagai tambahan kepada 12 negara yang telah diumumkan pada Jun lalu.
Menurut kenyataan rasmi, larangan ini dikenakan atas alasan keselamatan negara dan kegagalan beberapa kerajaan untuk berkongsi maklumat keselamatan yang mencukupi dengan pihak berkuasa AS.
Namun, dekri tersebut tidak menyebut Palestin secara langsung, sebaliknya merujuk kepada dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin, mencerminkan pendirian Washington yang tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Langkah ini dijangka menjejaskan ribuan individu, termasuk pelajar, pelarian dan ahli keluarga rakyat AS yang berasal dari negara-negara terlibat.
Pengkritik menyifatkan tindakan ini sebagai bersifat diskriminasi dan berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik serta usaha kemanusiaan di rantau yang terjejas konflik.
Pentadbiran Trump mempertahankan keputusan itu sebagai langkah penting untuk melindungi keselamatan rakyat AS dan memastikan hanya individu yang disaring dengan teliti dibenarkan memasuki negara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


