Trump menghadap Maharaja Jepun sebelum pertemuan rasmi dengan PM Takaichi

Presiden Trump (kiri) menghadap Maharaja Naruhito di Tokyo, Jepun, pada Isnin. - Gambar AP
TOKYO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di ibu negara Jepun pada Isnin malam bagi memulakan peringkat kedua lawatan tiga negaranya ke Asia dengan tumpuan utama untuk memperkukuh hubungan dua hala bersama Perdana Menteri baharu negara itu, Sanae Takaichi.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Trump ke Jepun sejak Jun 2019 ketika penggal pertamanya, dengan matlamat utama memberi jaminan terhadap komitmen Washington untuk terus bekerjasama rapat dalam menghadapi kebangkitan China serta menggalakkan pelaburan syarikat Jepun di Amerika Syarikat.
Trump yang tiba dari Malaysia di bawah kawalan keselamatan ketat, terlebih dahulu menghadap Maharaja Naruhito pada malam sebelum pertemuan rasmi dengan Takaichi yang baru seminggu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan merupakan wanita pertama dalam sejarah Jepun menduduki kerusi itu.
Pertemuan selama 30 minit itu menyentuh pelbagai topik termasuk usaha Trump dalam menyelesaikan konflik global serta hubungannya dengan Jepun di bawah kepimpinan Takaichi.
Menurut Agensi Rumah Diraja Jepun, Maharaja Naruhito menyatakan harapan agar lawatan Trump dapat "mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara Jepun dan Amerika Syarikat" serta melahirkan keprihatinan terhadap konflik dunia dengan doa agar keamanan tercapai.
Perbualan Trump dan Maharaja Naruhito turut menyentuh kejayaan diraih atlet Jepun di Amerika termasuk bintang besbol Los Angeles Dodgers, Shohei Ohtani.
“Saya berterima kasih kerana mereka telah diterima dengan baik oleh masyarakat Amerika,” titah baginda.
Sebagai simbol penghormatan, Menara Tokyo malam tadi diterangi dengan warna bendera Amerika Syarikat.
Dalam hantaran di media sosial, Takaichi mengalu-alukan kehadiran Trump dan menyatakan harapan agar perbincangan mereka esok dapat memperkukuh lagi “perikatan hebat” antara kedua-dua negara.
Sebelum mendarat di Tokyo, Trump memuji Takaichi sebagai “filosofinya dekat” dengan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, sahabat rapat beliau yang terbunuh pada 2022.
Takaichi juga dijangka menghadiahkan kepada Trump sebatang kayu golf milik Abe sebagai simbol menghidupkan semula persahabatan mereka.
Sebagai pengikut kuat dasar Abe, Takaichi dijangka mengekalkan dasar keselamatan dan ekonomi Jepun yang pro-Amerika, termasuk rancangan meningkatkan keupayaan pertahanan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan Washington.
Antara hasil utama pertemuan dua hala kali ini ialah pemeteraian perjanjian dalam bidang pembinaan kapal, rantaian bekalan mineral kritikal, dan perluasan import hasil pertanian Amerika ke Jepun - sebahagian daripada rundingan perdagangan musim panas lalu.
Trump dijangka turut mengunjungi pangkalan tentera laut AS di Yokosuka bersama Takaichi menaiki helikopter Marine One, serta meninjau kapal pengangkut pesawat nuklear USS George Washington sebagai simbol keutuhan perikatan dua hala itu.
Menurut pegawai kerajaan Jepun, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar topi bertulis “Japan is back” dan “Make America Great Again” sebagai tanda persahabatan.
Trump kemudiannya dijadual menghadiri pertemuan dengan tokoh korporat utama Jepun termasuk Pengerusi Toyota Motor Corp, Akio Toyoda dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son, di mana beliau dijangka menggesa syarikat-syarikat Jepun meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


