INTERNATIONAL
Trump mulakan jelajah Asia Barat
Pertemuan Trump dengan Mohammed bin Salman pada tahun 2017. Dalam kunjungan kali ini, kedua-dua pemimpin ini dijadual mengadakan pertemuan sekali lagi. - AP
RIYADH: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tiba di Arab Saudi esok bagi memulakan jelajah Asia Barat yang turut melibatkan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sepertimana penggal pertamanya sebagai Presiden pada 2017, Arab Saudi menjadi destinasi pilihan pertama Trump sejak menjawat jawatan itu buat kali kedua tahun ini.
Beliau dijadual bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sebelum menghadiri mesyuarat bersama pemimpin Negara Teluk serta pemain industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei ini.
Antara lain, konflik Gaza, kerjasama ekonomi serta keselamatan serantau dijangka menjadi agenda perbincangan utama sepanjang lawatan empat hari Trump ke sini.
Arab Saudi sebelum ini memberi komitmen untuk melabur AS$600 bilion ke Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.
Ia turut bersetuju untuk membeli senjata dari Amerika bernilai AS$3.5 bilion awal tahun ini.
Lawatan itu dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju dasar luar Washington di Asia Barat, di sebalik persekitaran global yang semakin tidak menentu di rantau itu dan peringkat global.
Ia turut dijangka menjadi penentu penting yang bakal mencorak dinamika kuasa Arab Saudi di Asia Barat di sebalik ketegangan dengan Yaman dan Iran, di samping pengaruh yang semakin meningkat dari China dan Rusia.
Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua kuasa besar dunia itu telah memperkukuhkan kehadiran politik dan ekonomi mereka di Asia Barat, dengan China bertumpu kepada pelaburan ekonomi, dan Rusia terhadap kerjasama keselamatan.