INTERNATIONAL
Trump mulakan lawatan 'Diplomasi Teluk' untuk teguhkan hubungan strategik - Pakar

Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman selain menghadiri mesyuarat bersama pemimpin negara Teluk serta wakil industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei. - Reuters
RIYADH: Lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke beberapa negara Teluk dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, serta memperkukuh peranan AS dalam aspek keselamatan di rantau Timur Tengah.
Ringkasan AI
- Lawatan rasmi Presiden AS Donald Trump ke negara-negara Teluk bertujuan memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam bidang ekonomi dan keselamatan di Timur Tengah.
- Arab Saudi dilihat sebagai sekutu utama AS, dengan komitmen untuk melabur sehingga US$1 trilion di AS dalam tempoh 4-5 tahun akan datang, serta mendapatkan sokongan strategik dari Washington, termasuk dalam sektor pertahanan dan tenaga nuklear awam.
- Lawatan ini juga bertujuan untuk memperkenalkan rancangan baharu ke arah perdamaian global, termasuk di Gaza, dan menyokong pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat.
"Jadi penggal kedua Trump ini, Trump memerlukan jaminan pelaburan tinggi daripada Arab Saudi. Kita dapat lihat bagaimana kerajaan Arab Saudi yang diketuai oleh Mohammed bin Salman ini telah pun berjanji untuk meningkatkan pelaburan di AS sehingga US$1 trilion dalam tempoh 4 hingga 5 tahun akan datang.
"Jadi ini dilihat sebagai penting bagi Trump untuk meraih pulangan jaminan pelaburan ataupun pulangan pelaburan modal Arab Saudi dan juga beliau bertindak sebagai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak," katanya kepada Bernama.
Jelas Chong, Arab Saudi turut melihat lawatan itu sebagai peluang terbaik kepada Riyadh untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mendapatkan sokongan strategik daripada Washingon, termasuk dalam sektor pertahanan.
"Jadi Riyadh juga memerlukan sokongan AS untuk membangunkan program tenaga nuklear awam walaupun ada juga kemelut yang melanda atas dasar Riyadh ingin membangunkan pengurusan uranium secara domestik namun ia tidak disukai oleh Washington disebabkan risiko akan datang," katanya.
Media antarabangsa pada Isnin melaporkan Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman selain menghadiri mesyuarat bersama pemimpin negara Teluk serta wakil industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei.
Tokoh perniagaan ternama seperti Elon Musk juga dijangka menghadiri Forum Pelaburan Arab Saudi-AS yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei.
Mengulas lanjut, Chong berkata lawatan Trump ke Arab Saudi juga bakal memberikan satu rancangan baharu yang jelas ke arah perdamaian global termasuk di Gaza, serta menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
"Ini juga memberikan mesej yang positif kepada pelaku serantau bahawa dasar American First di bawah Trump ini tidak hanya berkisar kepada menjaga kepentingan negara itu semata-mata.
"Ia juga untuk mencerminkan hasrat sebenar atau hasrat komprehensif Trump ke arah perdamaian sedunia termasuk mencari langkah penyelesaian konflik di seluruh dunia termasuk di Ukraine, di Timur Tengah melibatkan Gaza dan juga rantau lain."
Bagaimanapun katanya, harapan untuk melihat perubahan besar dalam dasar luar AS terhadap Gaza perlu dilihat secara realistik.
"Tapi kita tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi apakah mungkin adanya perubahan besar-besaran atau skop dimensi usaha atau polisi AS dalam rantau ini terutama melibatkan penyelesaian konflik di Gaza.
"Cuma apa yang kita dapat lihat cerminan ke arah gencatan senjata atau pelan damai jangka panjang bagi Gaza ini yang melibatkan juga usaha sama serantau," katanya.
Tambah Chong, dengan kembalinya Trump sebagai Presiden AS, kedua-dua pemimpin cuba untuk menggunakan kesempatan ini untuk memperbaiki semula hubungan Riyadh-Washington berdasarkan legasi "persahabatan lama" yang telah terjalin di bawah pentadbiran Trump 1.0 dan menjadikan Washington sebagai kuasa utama dalam menjamin keselamatan dan pertahanan Riyadh.
Lawatan empat hari Trump yang turut merangkumi persinggahan di Doha, Qatar dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyerupai kunjungan sulung antarabangsa beliau pada 2017 yang turut menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pertama.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan komitmen untuk melabur US$600 bilion di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun, selain bersetuju membeli senjata dari Washington bernilai US$3.5 bilion pada awal tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami