[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Bebas dalam Kes SRC RM27 Juta – Ikuti Perkembangan di Sini
INTERNATIONAL

Trump mulakan rundingan tarif dengan tiga negara - Laporan

Bernama 05/04/2025 | 10:01 MYT
Donald Trump telah mengadakan rundingan dengan wakil-wakil dari Vietnam, India dan Israel berhubung tarif baharu. - Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengadakan rundingan dengan wakil-wakil dari Vietnam, India dan Israel berhubung tarif baharu yang dikenakan ke atas barangan import, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan CNN.
Menurut laporan itu, Trump sedang berhubung dengan wakil ketiga-tiga negara berkenaan bagi merundingkan perjanjian perdagangan secara individu yang boleh meredakan pelaksanaan tarif yang dicadangkan sebelum tarikh akhir minggu hadapan, memetik sumber sebagai berkata.
Pada Rabu, Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS bermula 5 April, manakala tarif timbal balik yang lebih tinggi terhadap negara dan wilayah yang mencatatkan defisit dagangan terbesar dengan AS akan mula berkuat kuasa pada 9 April.
Beberapa negara telah pun mengumumkan hasrat mereka untuk mengambil tindakan balas terhadap kenaikan tarif itu. China, misalnya, berkata ia akan mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas semua import dari AS bermula 10 April.
Pasaran saham AS turut terjejas dengan kehilangan nilai sebanyak US$6.6 trilion dalam tempoh dua hari, kerugian terbesar dalam sejarah.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
#rundingan #tarif baharu #amrika syarikat #Donald Trump #Vietnam #India