DUNIA

Trump nafi bincang dengan Iran, dakwa kemudahan nuklear Tehran ‘dihapuskan sepenuhnya’

Astro Awani 30/06/2025 | 07:30 MYT
Trump menegaskan pentadbirannya tidak menawarkan bantuan atau berbincang dengan Iran, serta menafikan laporan media mengenai program tenaga nuklear awam bernilai AS$30 bilion. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin menegaskan bahawa pentadbirannya tidak menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada Iran dan tidak menjalankan sebarang perbincangan dengan negara itu, sambil mengulangi dakwaannya bahawa kemudahan nuklear utama Iran telah dihapuskan sepenuhnya.

Ringkasan AI
  • Trump menegaskan pentadbirannya tidak menawarkan bantuan atau berbincang dengan Iran, serta menafikan laporan media mengenai program tenaga nuklear awam bernilai AS$30 bilion.
  • Beliau mendakwa kemudahan nuklear utama Iran telah dimusnahkan sepenuhnya melalui serangan udara AS, namun penilaian IAEA dan pegawai pertahanan menunjukkan kerosakan tidak menyeluruh.
  • Kenyataan Trump mencetuskan perdebatan, dengan pakar dan ahli politik mempersoalkan dakwaan "musnah sepenuhnya" yang dianggap keterlaluan dan tidak disokong bukti bebas.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk membantu Iran membangunkan program tenaga nuklear awam bernilai sehingga AS$30 bilion.
Trump menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai berita palsu.
"Beritahu Senator Demokrat Chris Coons yang hipokrit bahawa saya tidak menawarkan apa-apa kepada Iran, tidak seperti Obama yang membayar mereka berbilion dolar di bawah perjanjian JCPOA 'jalan menuju senjata nuklear' yang bodoh itu (yang kini sepatutnya telah tamat tempoh!).
"Saya juga langsung tidak berbincang dengan mereka (Tehran) sejak kami memusnahkan sepenuhnya kemudahan nuklear mereka,” katanya dalam satu kenyataan di platform Truth Social.
Trump sebelum ini mendakwa bahawa serangan udara Amerika Syarikat pada 21 Jun lalu telah memusnahkan tiga tapak utama nuklear Iran — Fordow, Natanz dan Isfahan — menggunakan bom penembus kubu seberat 30,000 paun.
Beliau menyifatkan operasi itu sebagai kejayaan ketenteraan yang luar biasa.
Namun begitu, penilaian awal oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan beberapa pegawai pertahanan AS menunjukkan bahawa kerosakan yang dialami adalah teruk tetapi tidak menyeluruh, dan Iran masih berupaya memulihkan sebahagian besar keupayaan pengayaan uraniumnya dalam beberapa bulan.
Kenyataan Trump itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar dan ahli politik, dengan sesetengah pihak menyifatkan penggunaan istilah "musnah sepenuhnya" sebagai keterlaluan dan tidak disokong oleh bukti panel bebas setakat ini.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Iran #program tenaga nuklear awam