DUNIA

Trump padam video berunsur perkauman yang gambarkan Obama sebagai kera

Astro Awani 06/02/2026 | 23:30 MYT
White House mempertahankan video tersebut sebagai “meme internet”, namun selepas kritikan semakin memuncak, hantaran itu dipadam daripada akaun Truth Social milik Trump. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah memadam satu video di media sosial yang mengandungi klip berunsur perkauman yang menggambarkan bekas Presiden Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama, sebagai kera.

Klip berkenaan, berlatarbelakangkan lagu 'The Lion Sleeps Tonight', dimuatkan di penghujung sebuah video berdurasi 62 saat yang turut mengandungi dakwaan penipuan pengundian dalam pilihan raya presiden 2020.

Bantahan tercetus termasuk daripada dalam Parti Republikan sendiri.

Senator Tim Scott menggesa Trump supaya memadam hantaran itu, menyifatkannya sebagai “perkara paling rasis” yang pernah datang dari White House.

Pada awalnya, White House mempertahankan video tersebut sebagai “meme internet”, namun selepas kritikan semakin memuncak, hantaran itu dipadam daripada akaun Truth Social milik Trump.

Seorang pegawai White House berkata seorang kakitangan telah memuat naik video itu secara “tersilap”.

Menurut BBC, klip tersebut dipercayai diambil daripada hantaran di platform X oleh pencipta meme konservatif, Xerias, dan turut menggambarkan beberapa tokoh Demokrat lain sebagai haiwan, termasuk Alexandria Ocasio-Cortez, Hillary Clinton serta bekas Presiden Joe Biden.

BBC juga melaporkan bahawa pihaknya telah menghubungi White House untuk mendapatkan penjelasan mengenai siapa yang mempunyai akses ke akaun presiden serta proses kelulusan hantaran.

Dalam kenyataan kepada BBC, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, berkata klip itu berasal daripada “video meme internet” dan meminta pengkritik supaya “menghentikan kemarahan palsu”.

Pasangan Obama setakat ini belum mengulas mengenai video berkenaan.





#Donald Trump #klip video #Barack Obama #kera