DUNIA
Trump pecat Ketua Biro Statistik Buruh AS, dakwa data pekerjaan 'dimanipulasi'

McEntarfer (gambar) telah dipecat oleh Presiden Trump selepas mendakwa tanpa bukti laporan pekerjaan bulanan telah dimanipulasi oleh Ketua Pesuruhjaya Biro Statistik Buruh itu untuk tujuan politik. - Gambar US Bureau of Labor Statistics
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memecat Ketua Pesuruhjaya Biro Statistik Buruh (BLS), Dr Erika McEntarfer, selepas mendakwa tanpa bukti laporan pekerjaan bulanan telah dimanipulasi untuk tujuan politik.
Pemecatan itu dibuat susulan laporan pasaran buruh bagi Julai yang menunjukkan hanya 73,000 peluang pekerjaan dicipta - jauh di bawah jangkaan pasaran.
Laporan itu juga menyemak semula data pekerjaan bagi Mei dan Jun dengan pengurangan gabungan sebanyak 258,000 pekerjaan, menjadikan suku tersebut yang terburuk sejak kemelesetan pandemik 2020.
Trump dalam satu hantaran di Truth Social mendakwa, laporan itu sengaja direka untuk memberi imej buruk kepada pentadbirannya."Pada pandangan saya, angka pekerjaan hari ini SENGAJA DIUBAH untuk memburukkan Republikan dan saya sendiri," tulis Trump.
"Saya pecat dia dan itu tindakan yang betul" – Trump
Dalam kenyataan kepada media di South Lawn, Trump turut mendakwa McEntarfer memalsukan angka pekerjaan demi meningkatkan peluang bekas Naib Presiden Kamala Harris dalam pilihan raya 2024.
“Saya percaya angka ini palsu, seperti sebelum pilihan raya lalu. Jadi apa saya buat? Saya pecat dia. Dan ya, saya rasa itu keputusan yang betul,” katanya.
Trump turut menyifatkan penyemakan semula data pekerjaan sebagai “kesilapan besar” meskipun proses semakan data oleh BLS adalah amalan standard kerana laporan awal sering berdasarkan data belum lengkap.
McEntarfer dilantik ke jawatan itu oleh Presiden terdahulu, Joe Biden dan diluluskan Senat dengan undian 86-8 pada Januari 2024 untuk tempoh empat tahun.
Buat sementara waktu, Timbalan Pesuruhjaya William Wiatrowski akan memangku jawatan tersebut, menurut kenyataan White House.
Pakar ekonomi bimbang integriti statistik tergugat
Pakar ekonomi dan ahli politik menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Trump yang dianggap mencabar kredibiliti data rasmi negara.
Profesor Harvard dan bekas penasihat ekonomi Presiden Obama, Jason Furman, menyifatkan tindakan Trump sebagai “tidak wajar.”
“Negara yang memalsukan data ekonomi akhirnya berdepan krisis. Statistik yang tepat adalah asas kepada kestabilan ekonomi,” tegasnya.
Ketua Ahli Ekonomi Moody’s Analytics, Mark Zandi pula berkata, data BLS adalah antara yang paling berkualiti dan diyakini dalam dunia ekonomi moden.
“Apa-apa tindakan yang menggugat kepercayaan terhadap integriti data ini sangat membimbangkan,” katanya.
Tindakan Trump memotong bajet beberapa agensi kerajaan termasuk BLS turut menimbulkan persoalan mengenai skop kerja dan kualiti data agensi itu.
BLS sebelum ini menghentikan pengumpulan data harga pengguna di tiga bandar utama dan meningkatkan penggunaan teknik “imputasi” - iaitu anggaran statistik untuk data yang tidak lengkap.
Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell, dalam keterangannya kepada Kongres Jun lalu, menyuarakan kebimbangan terhadap trend itu, meskipun menyifatkan data semasa masih boleh dipercayai.
Tuduhan dan sokongan bercampur
Senator Demokrat dari Virginia, Mark Warner, mengkritik langkah Trump, menyifatkan tindakan itu sebagai “mengganggu pengadil perlawanan”.
“Pecat pengadil tidak akan ubah keputusan perlawanan. Rakyat berhak tahu kebenaran tentang keadaan sebenar ekonomi di bawah Trump,” katanya.
Namun, Setiausaha Buruh AS, Lori Chavez-DeRemer, menyokong pemecatan itu dengan alasan penyemakan besar-besaran data lalu menimbulkan persoalan mengenai keputusan McEntarfer. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami