DUNIA

Trump pelawa Erdogan sertai Lembaga Keamanan Gaza

Bernama 17/01/2026 | 21:30 MYT
Matahari terbenam di utara Gaza, seperti yang dilihat dari sempadan Israel, Julai 2025. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, atas kapasitinya sebagai Pengerusi Pengasas Lembaga Keamanan bagi Gaza, telah mempelawa Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan untuk menyertai lembaga berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Pada 16 Januari, Presiden AS Donald Trump telah menghantar surat jemputan kepada Presiden kita, Recep Tayyip Erdogan, untuk menjadi anggota pengasas Lembaga Keamanan," kata Pengarah Komunikasi Turkiye, Burahanettin Duran menerusi hantaran di platform media sosial Turkiye, NSosyal.

Duran berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Resolusi 2803, telah menyokong Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza yang diumumkan oleh Trump dan membawa kepada gencatan senjata di wilayah Palestin itu.

Sehubungan itu, beliau berkata Lembaga Keamanan serta badan-badan di bawahnya kini sedang ditubuhkan bagi memastikan aspek keselamatan dan pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA


#Donald Trump #Recep Tayyip Erdogan #Lembaga Keamanan Gaza #Gaza #Resolusi 2803